Sarapan percuma: Rakyat jimat RM2.3 bilion

SHAH ALAM: Program Sarapan Percuma (PSP) yang diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan mampu meringankan perbelanjaan keluarga dengan memberi penjimatan kira-kira RM2.3 bilion kepada ibu bapa di Malaysia untuk menyediakan wang saku kepada anak mereka.

Profesor ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, inisiatif itu baik kerana ia merupakan pelaburan besar untuk generasi akan datang yang akan mewarisi negara dalam tempoh 20 tahun.

Menurutnya, inisiatif untuk semua murid itu bukan hanya kepada keluarga berpendapatan sederhana, malah murid daripada keluarga berada.

“Kita ambil contoh, ibu bapa membelanjakan RM856 setahun untuk memberi wang saku sebanyak RM4 sehari kepada seorang anak.

“Cuma ada yang mempersoalkan mengapa anak orang kaya juga dapat makan percuma? Bagi saya yang penting semua murid mendapat keperluan makanan seimbang dan baik supaya dapat beri tumpuan di dalam kelas,” katanya, lapor Sinar Harian.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan mengumumkan mulai Januari 2020, kerajaan akan menyediakan sarapan percuma untuk 2.7 juta murid di seluruh Malaysia.

Inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan murid terus kekal sihat dan cergas, selain membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin pada pelajaran setiap hari.

Bagaimanapun Barjoyai berkata, walaupun inisiatif itu adalah yang terbaik bagi membantu meringankan beban ibu bapa, namun terdapat beberapa persoalan berhubung pelaksanaannya.

“Cabarannya ialah bagaimana pihak terlibat dapat menyediakan makanan setiap hari tanpa mengabaikan kualiti dan kebersihan makanan serta tidak menyebabkan pembaziran.

“Inisiatif sama telah diperkenalkan 40 tahun lalu. Awalnya murid diberi bubur, kemudian ditukar kepada roti dan keju tetapi akhirnya mereka menjadi jemu dengan makanan disediakan.

“Untuk elak perkara ini, saya cadangkan supaya ia diberikan kepada beberapa pembekal berbeza bagi mengelak makanan yang disediakan membazir,” katanya.

Menurutnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengurusan sekolah boleh mengambil bahagian untuk memastikan penyediaan makanan kepada murid menepati kualiti diperlukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *