Dr Mahathir minta rakyat jaga sensitiviti kaum

KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan ulang tahun ke-62 Hari Kebangsaan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan peri pentingnya bagi rakyat Malaysia untuk menjauhkan diri daripada memarakkan sensitivi kaum dalam negara majmuk ini.

Perdana Menteri berkata rakyat perlu berhati-hati dengan apa jua percakapan dan tingkah laku mereka supaya tidak memberi kesan kepada sensitiviti mana-mana kaum di negara ini.

“Kita perlu berhati-hati apabila kita berkata sesuatu supaya kita tidak terkena sensitiviti kaum-kaum tertentu.

“Apa yang kita buat, apa yang kita kata (hendaklah) tidak menyebabkan perasaan rasis ini timbul,” katanya dalam video berdurasi empat minit bertajuk “Apabila Dr Mahathir Ditanya Mengenai Merdeka” yang dimuat naik di laman YouTube ‘Chedet Official’.

Dr Mahathir menyatakan demikian kepada pertanyaan apakah perkara paling susah yang perlu dihadapinya sebagai perdana menteri yang diajukan kepada beliau ketika berinteraksi dengan sekumpulan tujuh remaja pelbagai kaum di tepi Tasik Putrajaya.

Dr Mahathir berkongsi dengan mereka bahawa hakikat negara ini berbilang kaum menjadi satu cabaran buat beliau sebagai perdana menteri dalam mentadbir negara.

Dalam konteks ini, beliau menekankan betapa pentingnya golongan remaja menyedari keadaan dalam negara sendiri.

“Sedar terutamanya bahawa negara kita ini berbilang kaum dan kita perlu rapatkan hubungan antara kaum, dan kita tidak (dengan) sengaja menimbulkan kemarahan mana-mana kaum,” katanya.

Menyentuh persoalan mengenai kepentingan meraikan kemerdekaan, Dr Mahathir berkata apabila merdeka, rakyat boleh menentukan nasib sendiri.

“Kita yang mentadbir, kita yang berusaha untuk memajukan negara kita… (Sekarang) kita boleh pilih kerajaan kita,” katanya sambil berkongsi perbezaan keadaan semasa zaman penjajah apabila rakyat negara ini tidak mempunyai suara sama sekali dalam pemerintahan negara.

Mengimbau kenangan kemerdekaan, Dr Mahathir berkata ia amat menarik apabila rakyat akhirnya bebas daripada cengkaman penjajah dan dapat merayakannya di seluruh negara.

Selain itu, apabila ditanya sama ada Malaysia benar-benar merdeka, Dr Mahathir yang kini memimpin negara untuk kali kedua berkata: “Ya, kita betul-betul merdeka tetapi di zaman sekarang ini kita terpengaruh dengan information (maklumat) yang kita dapat,”

Malaysia akan menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *