Rakyat diseru bersatu bina tamadun bangsa

IPOH: Seluruh rakyat negeri Perak diseru berganding bahu dan bersatu dalam usaha membina tamadun bangsa yang ulung bagi meneruskan keutuhan perpaduan masyarakat majmuk di negeri ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata semua pihak juga diingatkan supaya tidak meruntuhkan kegemilangan bangsa kerana ketamakan memburu kuasa dan kepentingan diri atau sesuatu kumpulan.

“Patik dan sekalian rakyat seharusnya sedar bahawa bangsa yang berjaya adalah bangsa yang sentiasa belajar dan mengambil iktibar daripada sejarah. Peristiwa Perang Larut dan Tragedi 13 Mei 1969 boleh berulang jika kita tidak belajar daripada kesilapan lalu. Konfrontasi dan pertumpahan darah tidak membawa apa-apa kebaikan, seperti pepatah Melayu ‘yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu’,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap pada majlis jamuan teh dan penyampaian hadiah sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 peringkat negeri yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Dewan Warisan di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata pemilihan Bandar Warisan Taiping sebagai lokasi sambutan tahun ini adalah bagi menzahirkan kesyukuran atas kejayaan bandar itu dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik bagi Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sijil, plak dan replika cek kepada Majlis Bandaraya Ipoh yang dinobatkan Johan Pakaian Terbaik Keseluruhan, dan juga Johan Pertandingan Kawad bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun, Swasta dan NGO.

Jabatan Agama Islam Perak pula menjadi Johan Pertandingan Kawad bagi kategori Jabatan Kerajaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *