Sheikh Abdullah Bayyah: Jangan musnahkan keharmonian di media sosial

KUALA LUMPUR: Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1441H/2019M Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah menyeru umat Islam supaya tidak menyebarkan sesuatu di media sosial yang boleh memusnahkan kedamaian dan keharmonian dalam kalangan umat Islam.

Shaykh Abdallah, 84 yang juga presiden Forum Memperkasakan Keamanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menasihatkan umat Islam supaya sentiasa mengutamakan keamanan melalui dasar rahmah supaya tidak timbul kekecohan lebih-lebih lagi dalam cabaran dunia semasa Islam dengan media sosial dan fitnah akhir zaman.

“Usaha yang dibawa oleh kerajaan Malaysia hari ini melalui dasar rahmatan lil alamin dan maqasid syariah adalah tepat pada masa dan tempatnya.

“Saya menyeru supaya usaha ini disambut oleh semua pihak di negara ini tidak kira peringkat umur dan bangsa,” katanya kepada pemberita dalam bahasa Arab dan diterjemahkan ke bahasa Melayu selepas majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Menurut Shaykh Abdallah, beliau akan mewujudkan satu kerjasama padu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa selepas ini untuk mempromosikan kedamaian dan keamanan kepada dunia Islam seluruhnya.

“Semoga usaha ini akan menjadi penyumbang kepada dunia Islam,” kata Shaykh Abdallah yang juga Pengerusi Majlis Fatwa UAE.

Pada majlis hari ini Shaykh Abdallah menerima wang tunai RM100,000 dari kerajaan Malaysia. Beliau turut menerima RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi beserta pingat serta sijil penghargaan dari kerajaan Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah berkenaan.

  • Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *