Sultan Nazrin titah henti nyala api perkauman, permusuhan agama

Sultan Nazrin titah henti nyala api perkauman, permusuhan agama

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar semua pihak menghentikan perbuatan menyemarak isu perkauman dan agama di negara ini.

Baginda bertitah, setiap insiden yang ditafsirkan secara negatif menurut dimensi kaum dan agama meletakkan negara berada dalam zon bahaya yang mencemaskan.

Menurut baginda, pelbagai provokasi keterlaluan membabitkan isu perkauman dan agama ibarat satu bom jangka yang menunggu masa untuk meletup.

“Pelbagai provokasi secara keterlaluan dilaporkan, antaranya meletak patung dan melemparkan daging khinzir di dalam masjid, meletak kepala lembu di kuil Hindu, menyebarkan pelbagai bahan diayah, fitnah dan penghinaan melalui media sosial, termasuk penghinaan terhadap agama Islam dan Rasulullah SAW. Sebahagian besar daripada perbuatan-perbuatan tersebut dilaporkan dilakukan kerana upahan.

“Bara perkauman semakin disemarakkan, api permusuhan antara agama semakin dinyalakan. Setiap ungkapan dan setiap perbuatan sedemikian, sebenarnya merupakan pemasangan satu bom jangka, yang menantikan masa untuk meletup,” titah baginda sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya di sini hari ini, lapor Sinar Harian.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Exco kerajaan Perak.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menegur tindakan segelintir pemimpin politik yang mengambil kesempatan meningkatkan lagi suhu permusuhan dalam kalangan rakyat.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )