Tokoh Maal Hijrah Perak impikan mahkamah syariah setaraf mahkamah sivil

Tokoh Maal Hijrah Perak impikan mahkamah syariah setaraf mahkamah sivil

IPOH: Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak, Datuk Muhammad Asri Abdullah, 65, berkata, selama berkhidmat dalam bidang kehakiman syariah di Malaysia, beliau mengimpikan struktur mahkamah syariah di Malaysia sama taraf dengan mahkamah sivil.

Menurutnya, beliau antara individu terawal merangka struktur Mahkamah Syariah Perak selepas Jabatan Kehakiman Syariah Perak diwujudkan pada tahun 1995 pasca pemisahan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Antara yang paling saya impikan ialah mahkamah syariah ditingkatkan daripada tiga lapis iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah kepada lima peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Majlis Rayuan Syariah Malaysia. Cadangan itu telah dibawa kepada pihak kerajaan dan Majlis Raja-Raja untuk dipertimbangkan pelaksanannya.

“Saya sangat berharap agar mahkamah syariah dapat dipertingkatkan sama taraf dengan mahkamah sivil di negara ini.” katanya kepada pemberita selepas menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441 Negeri Perak sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, di sini hari ini.

Datuk Muhammad Asri Abdullah bersama ahli keluarganya.

Beliau yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah berkata, jika mahkamah syariah berada lebih rendah daripada mahkamah sivil, sukar untuk institusi kehakiman syariah bersaing dan memberi perkhidmatan terbaik.

Menurutnya, pelaksanaan struktur baharu mahkamah syariah itu nanti akan meletakkan beberapa perkara yang selama ini terpisah dilaksanakan pihak lain seperti pembahagian pusaka dan sebagainya di bawah mahkamah syariah.

Beliau yang pernah menjadi Kadi Besar Negeri Perak berkata, usaha itu mampu direalisasikan jika semua pihak bersama-sama berjuang memastikan pelaksanaannya.

Sebelumnya Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah dan juga tiga lagi anugerah lain iaitu Anugerah Ar-Ridzuan, Pengurusan Masjid Terbaik dan Pengerusan Perkuburan Islam Terbaik.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) Perak, Datuk Dr Abu menerima Anugerah Ar-Ridzuan manakala Masjid Jamek Pengkalan Hulu dinobat sebagai Pengurusan Masjid Terbaik Negeri Perak dan Tanah Perkuburan Islam Pekan Kecil Tapah Road dianugerahkan sebagai Pengurusan Perkuburan Islam Terbaik.

Turut berangkat ke majlis berkenaan, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )