Bekas pegawai khas Najib kekal pendirian bahawa Jho Low rapat dengan Najib

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan pendiriannya bahawa ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low sangat rapat dengan bekas perdana menteri itu berdasarkan tiga sebab.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata beliau secara peribadi menyaksikan hubungan rapat antara kedua-dua mereka (Jho Low dan Najib).

Ketika menjawab soalan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi pendakwaan kelapan itu berkata beliau melihat Jho Low lebih kerap daripada orang lain pergi ke rumah Najib.

Muhammad Shafee:  Adakah ada ketika lain anda melihat keakraban hubungan Datuk Seri Najib dengan Jho Low?

Amhari Efendi : Ya.

Muhammad Shafee: Ya, beritahu saya apa yang sebenarnya anda secara peribadi melihat hubungan rapat antara Datuk Seri Najib dan Jho Low?

Amhari Efendi : Saya melihat dia (Jho Low) lebih kerap daripada orang lain keluar masuk rumah Datuk Seri Najib.

Muhammad Shafee: Anda melihat sendiri dia keluar masuk Datuk Seri Najib?

Amhari Efendi : Ya.

Muhammad Shafee: Di mana, di Jalan Duta atau … 

Amhari Efendi : Kebanyakan di Jalan Duta 

Muhammad Shafee: Anda kerap melihatnya?

Amhari Efendi : Ya, ini sudah cukup untuk menunjukkan hubungannya yang rapat dengan Datuk Seri Najib

ketika ditanya mengenai sebab lain mengapa dia berkata demikian, saksi utama itu berkata ini kerana “Apabila Jho Low, saya dan Datuk Azlin mengadakan mesyuarat, Jho Low akan menyebut perkara-perkara tertentu kepada Azlin dan berkata “ini akan dimaklumkan kepada anda esok” dan kemudian perkara-perkara ini diberitahu kepada Azlin (oleh Najib). (Datuk Azlin Alias, ketika itu ialah ketua setiausaha sulit Najib).

Muhammad Shafee: Itu sebab yang kedua, Apakah ada sebab lain mengapa anda membuat kesimpulan mereka sangat rapat?

Amhari Efendi : Jho Low dapat memberitahu tarikh perjalanan Datuk Seri Najib.

Muhammad Shafee: Ini datang dari mulut Jho Low?

Amhari Efendi : Ya 

Merujuk kepada kenyataan saksinya, Amhari Efendi menyebut bahawa Jho Low akan datang lambat semasa mesyuarat mereka di Prince Hotel dan memakai “baju batik” dan Muhammad Shafee kemudian bertanya kepada saksi mengapa Jho Low memakai “baju batik” dan kenapa dia datang lambat.

Muhammad Shafee: Anda memberitahu dalam kenyataan saksi anda bahawa Jho Low akan membuat anda menunggu 30 minit hingga satu jam setiap kali pertemuan antara anda, Datuk Azlin dan Jho Low. Anda tahu mengapa?

Amhari Efendi: Kerana dia tidak menepati waktu.

Muhammad Shafee: Adakah sebab lain? Dia memakai “batik” kenapa. Apa yang anda fikir dia cuba menyampaikan. Semua ini dia belajar dari Wharton School (School of the University of Pennsylvania), adakah anda tahu.

Ini untuk menyampaikan mesej kepada anda bahawa dia adalah lelaki yang sangat sibuk dan memberitahu anda bahawa dia lebih hebat daripada anda dan mengapa dia selalu bergegas ketika bertemu dengan anda, kerana dia ingin menunjukkan bahawa dia bertemu dengan Perdana Menteri di suatu tempat dan tergesa-gesa untuk bertemu dengan anda.

Kenapa dia memakai batik di mana-mana, ini adalah cara Jho Low menyampaikan mesej bahawa dia hanya pergi untuk bertemu dengan seseorang yang berpangkat rasmi.

Amhari Efendi: Saya tidak tahu.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion berhubung dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat kesalahan tersebut di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011, dan 19 Dis, 2014, dan bagi 21 pertuduhan, antara 22 Mac, 2013, dan 30 Ogos, 2013, di tempat yang sam.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Selasa.

— BERNAMA  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *