Manfaatkan skim pinjaman, khidmat sokongan kerajaan

Manfaatkan skim pinjaman, khidmat sokongan kerajaan

IPOH: Para usahawan dan penjaja kecil di negeri Perak diseru supaya memanfaatkan sebaiknya Skim Pinjaman Mikro dan khidmat sokongan usahawan yang ditawarkan kerajaan negeri untuk memulakan perniagaan atau melonjakkan perniagaan sedia ada.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, para usahawan dan penjaja juga mesti berubah mengikut peredaran teknologi untuk kekalkan daya saing perniagaan masing-masing.

Menurutnya, golongan usahawan dan penjaja kecil negeri Perak perlu terus bersaing dalam era peralihan daripada ekonomi konvensional kepada ekonomi digital.

“Sebagai contoh di bawah Belanjawan 2019, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM5 juta untuk skim pinjaman mikro yang disalurkan melalui Yayasan Perak.

“Pinjaman ini adalah bagi menggalakkan golongan belia dan golongan B40 untuk menceburi bidang perniagaan dan meningkatkan kapasiti perniagaan.

“Bagaimanapun, beliau berkata setakat bulan September, dana untuk pinjaman itu masih belum digunakan sepenuhnya,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-33 Persatuan Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta, disini.

Justeru, beliau menyeru persatuan-persatuan usahawan untuk menyebarkan maklumat tentang skim pinjaman mikro dan khidmat sokongan SUPER kepada ahli-ahli mereka.

Beliau juga menyeru para penjaja dan usahawan kecil untuk mengambil manfaat daripada kemudahan ekonomi digital untuk memasarkan produk mereka dan tidak hanya bergantung kepada jualan secara konvensional.
Memberi contoh khidmat penghantaran makanan menggunakan GrabFood dan Food Panda, beliau berkata usahawan kecil tempatan mesti berubah sesuai dengan keadaan semasa dan teknologi masa depan.

“Untuk kekal kompetitif, para usahawan tempatan mesti berani berubah kerana mereka tidak akan mampu mengembangkan kapasiti perniagaan jika terus kekal dengan pendekatan konvensional.

“Saya memberi komitmen kerajaan negeri untuk terus membantu golongan usahawan tetapi pada masa yang sama menegaskan bahawa golongan usahawan juga mesti sanggup untuk berubah,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )