Sokong beli produk halal tanpa boikot produk lain – Ahmad Faizal

TAPAH: Kerajaan Perak menyokong usaha mendahulukan produk halal atau Muslim namun menegaskan agar tidak memboikot produk perusahaan bangsa atau agama lain.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata usaha memboikot sedemikian tidak perlu dilakukan atau digembar-gemburkan sekiranya ia tidak membawa keuntungan kepada negara. 

“Komitmen kerajaan negeri adalah ‘buy Malaysian first’ tapi kempen yang lain ini kita terlalu gembar-gemburkan kerana pada saya elok kita ambil berat memelihara keharmonian yang ada dalam negeri ini seperti titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. 

“Jika kita memulakan sesuatu usaha sehingga menyentuh sensitiviti orang lain, ia boleh mengakibatkan perkara yang tidak baik kepada negeri ini. Kalau nak cakap pasal produk Muslim atau halal, teruskan, tapi untuk boikot perusahaan agama lain itu tidak bagus,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Merdeka@Komuniti peringkat negeri Perak di Arena Merdeka Tapah di sini hari ini. 

Lebih 500 pengunjung hadir bagi memeriahkan program anjuran Jabatan Penerangan negeri, Pejabat Tanah dan Daerah Batang Padang serta Komuniti Harapan Malaysia Parlimen Tapah yang berlangsung sejak semalam. 

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berharap setiap rakyat dapat berfikir panjang dengan memikirkan kesannya kepada negara sebelum melakukan sebarang gerakan serta tindakan. 

Sementara itu, ketika ditanya pemberita sama ada akan berlaku perubahan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atau tidak, beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan sekiranya berlaku. 

“Bila ada perubahan saya akan buat kenyataan akhbar tetapi setakat ini tiada,” katanya. 

Pada 27 Ogos lalu, Ahmad Faizal mengumumkan bahawa beliau memangku semua portfolio dipegang Yong Choo Kiong yang bercuti daripada tugasan rasminya sebagai Exco kerajaan negeri untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan tuduhan kes rogol pembantu rumah yang dihadapinya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *