Kerajaan Perak tetap utuh, stabil: Asmuni

IPOH: Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) tetap kukuh dan stabil walaupun berlakunya pergolakan dalaman satu daripada parti komponen di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, peletakan jawatan dua Ahli Jawatankuasa DAP Perak kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti itu tidak langsung menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata, ini kerana mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri tetap berjalan seperti biasa dengan setiap wakil rakyat PH melaksanakan tugas masing-masing selain pelbagai program anjuran kerajaan negeri berlangsung seperti yang telah dijadualkan.

“Apa yang berlaku dalam DAP Perak hanya pergolakan kecil dan saya tidak nampak perkara itu boleh menjejaskan kerajaan negeri kerana ia hanya peletakan jawatan dalam parti politik tersebut sahaja.

“Kedua-dua mereka (Leong Cheok Keng dan Leow Thye Yih) tetap menyatakan sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu),” katanya.

Asmuni yang juga Pengerusi Amanah negeri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Merdeka Fun Run Peringkat Zon Chemor bersempena Program Merdeka @ Komuniti di Dewan Komuniti Klebang Restu, di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan sekali-kali masuk campur dalam urusan dalaman parti komponen dan terserah kepada kebijaksanaan masing-masing untuk menguruskan dan menyelesaikan masalah yang timbul.

Dua ahli jawatankuasa DAP Perak meletakkan jawatan pada Rabu lepas berikutan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Nga Kor Ming selaku Pengerusi DAP Perak.

Leong yang memegang jawatan Timbalan Bendahari DAP Perak manakala Leow sebagai Penolong Setiausaha Organisasi DAP Perak meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta berikutan tindakan Nga untuk membincangkan kedudukan Paul Yong Choo Kiong selaku Exco di peringkat PH tanpa merujuk jawatankuasa parti terlebih dahulu.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *