Kerajaan Perak rangka model, serius perkasa institusi tahfiz

Kerajaan Perak rangka model, serius perkasa institusi tahfiz

IPOH: Seramai 167 orang terdiri daripada pengusaha, mudir, pentadbir dan guru tahfiz berkumpul dalam Program Townhall Tahfiz bersama Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi bertempat di Institut Tadbiran Islam (INTIM) Negeri Perak disini, baru-baru ini.

Program yang bertujuan merangka satu model untuk memperkasakan pendidikan tahfiz di negeri Perak ini dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dengan kerjasama satu pasukan penyelidik daripada Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Mohd Nuri Al-Amin Endut.

Menurut Mohd Nuri, sasaran program ini dipecahkan kepada empat elemen utama yang mana setiap peserta akan diagihkan kepada empat kumpulan untuk membincangkan kesemua elemen berkenaan dengan terperinci.

“Antara tujuan perbincangan kita hari ini ialah nak dapatkan data dan info berkaitan empat elemen utama dalam agenda pemerkasaan pusat tahfiz. Elemen yang saya maksudkan itu ialah kurikulum, tenaga pengajar, pentadbiran dan prasarana.

Kita akan lihat bagaimana empat perkara ini dapat dirumuskan dan kita akan analisa sebelum kita bawa ke tengah” kata Mohd Nuri dalam taklimatnya kepada semua peserta.

Para peserta program tersebut bertanyakan soalan ketika sesi soal jawab.
Pengusaha, mudir, pentadbir dan guru tahfiz dari seluruh negeri hadir dalam program sesi dua hala ini

Program dimulakan dengan slot pembukaan yang dikendalikan oleh Asmuni Awi sendiri yang mana peserta bebas melontarkan sebarang isu dan permasalahan yang mereka alami.

Setiap isu dijawab dan diberikan pencerahan oleh Asmuni Awi sendiri selaku exco yang bertanggungjawab mengawal selia hal ehwal pendidikan Islam negeri Perak dibantu oleh Ustaz Mohamad Nasar Bin Kurdi selaku Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, JAIPk.

Dalam ucapan perasmian, Asmuni Awi menyatakan rasa syukurnya kerana majlis yang telah lama dinantikan olehnya akhirnya dapat dilaksanakan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang hadir kerana ia menunjukkan semua pihak sedia berganding bahu untuk memastikan institusi tahfiz di negeri Perak dapat dimartabatkan.

Beliau juga mengharapkan mana-mana pusat tahfiz yang belum mendaftar agar dapat berbuat sedemikian kerana ini akan memudahkan bantuan daripada pihak kerajaan negeri dapat disalurkan.

“Saya menyeru agar sekolah-sekolah ini segera mendaftarkan sekolah-sekolah tahfiz mereka bagi memudahkan pemberian bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan negeri pada hari ini.

Keperluan mendaftarkan sekolah tahfiz ini juga selaras dengan Enakmen Kawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1996”, katanya.

Program yang julung kali dianjurkan ini turut mendapat pujian daripada peserta yang hadir kerana ia dilihat satu platform yang baik untuk mempertemukan pihak kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab menguruskan pusat tahfiz di seluruh negeri Perak.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )