60 usahawan terima manfaat pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak

IPOH: Seramai 60 orang usahawan menerima manfaat daripada Skim Pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak.

Sebahagian dari jumlah itu telah menerima jumlah pinjaman masing-masing melalui cek yang telah diserahkan baru-baru ini.

Kesemua cek berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Perak sendiri iaitu Asmuni Awi.

Skim pinjaman tanpa faedah yang diuruskan oleh Yayasan Perak itu menurut Asmuni Awi akan diberikan kepada usahawan di negeri Perak dan kepada usahawan B40 terutamanya.

“Pinjaman ini tanpa faedah. Pinjam seratus ribu, bayar (semula) seratus ribu. Kita beri pinjaman ini kepada para usahawan dikalangan B40,” kata Asmuni Awi.

Namun begitu, menurutnya lagi proses menilai permohonan tidaklah begitu ketat asalkan pemohon telah pun terlibat dengan sebarang aktiviti usahawan dan memerlukan bantuan kewangan maka permohonan mereka akan diproses untuk dinilai.

Asmuni bersama para usahawan yang menerima manfaat pinjaman Yayasan Perak.

Skim yang berjumlah RM5 juta ini telah menerima sekitar 189 permohonan dan dari jumlah itu 80 permohonan telah pun diproses.

Menurut Asmuni Awi, permohonan baru yang mereka terima bertambah hampir setiap hari kerana permohonan boleh dibuat menggunakan sistem atas talian.

“Peruntukan untuk tabung ini ialah sebanyak lima juta. Setakat ini penerima ialah seramai 60 orang. Yang masih pending pun ramai. Jumlah yang kita sudah serahkan adalah lebih kurang RM730 000.

“Dan buat masa ni ada lagi permohonan baru yang masuk,“ katanya lagi kepada wartawan pada sidang media selepas berakhirnya Majlis Penyerahan Cek Skim Pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak di Pusat Pembangunan Usahawan (PPU) di Bandar Meru Raya.

Dalam majlis ini seramai 43 usahawan bidang telah menerima cek pinjaman masing-masing yang keseluruhannya berjumlah RM652 000.

Pinjaman ini juga tidak terhad kepada sektor atau jenis pernigaan tertentu tetapi boleh dimohon oleh mana-mana usahawan dalam apa jenis bidang sekalipun termasuk penternakan ikan, industri pembuatan makanan, perniagaan runcit dan sebagainya.

Sementara itu, salah seorang penerima yang menerima cek pinjaman berjumlah RM100 000, Puan Maisarah Halim menyatakan kesyukurannya yang tidak terhingga kerana permohonannya telah diluluskan.

“Saya amat bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Perak terutama kepada Pengerusi, Asmuni atas pemberian pinjaman ini.

“Tiada siapa rasanya boleh beri (pinjaman) tanpa ada faedah seperti yang Yayasan Perak bagi ni,” kata Maisarah.

Beliau yang terlibat dengan perniagaan menternak ikan tilapia dan beberapa jenis ikan yang lain menyatakan skim ini sudah dinanti-nantikan oleh usahawan lain diluar sana.

Asmuni juga berharap dengan duit yang diterima ini membolehkan beliau memperbanyakkan lagi sangkar dan meluaskan pasaran ke luar negeri Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *