Festival Ummatic 2.0: Sasar 10 Ribu Pengunjung Pelbagai Peringkat Umur, Kaum

IPOH: Festival Ummatic 2.0 yang bakal berlangsung pada 4 hingga 6 Oktober 2019 bertempat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati mensasarkan bilangan pengunjung seramai 10 ribu orang terdiri dari pelbagai kaum dan peringkat umur.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar, Asmuni Awi merangkap Penaung Jawatankuasa Pelaksana festival berkenaan menyatakan sedemikian dalam satu sidang media di pejabatnya pagi ini.

“Saya sasarkan tidak kurang dari 10 ribu orang (akan hadir). Program ini dalam usaha kita promosikan Islam itu sebagai Rahmatan Lil Alamin.”

“Termasuk (bukan Islam akan dijemput). Dan sebelum ini pun masjid tersebut telah adakan program seperti sambutan hari raya dan memang kita jemput non-muslim. Sambutannya Alhamdulillah, baik.  Tambahan, lokasi (masjid) ini terletak di kejiranan yang pelbagai. Muslim ada, non-muslim ada. Dan saya sendiri melihat keadaan ini” kata Asmuni Awi kepada wartawan.

Turut bersama dalam sidang media berkenaan ialah Setiausaha Pelaksana Festival Ummatic 2.0 iaitu Saudara Mohamad Nazrin bin Abdul Kahar merangkap Pengerusi Kelab Belia Al-fateh yang mana kelab berkenaan turut berperanan sebagai penganjur bersama dalam festival ini. Beliau menyatakan festival ini akan turut disertai oleh artis dan asatizah terkenal yang kebanyakannya merupakan Duta Rahmah.

Mohamad Nazrin bin Abdul Kahar, Pengerusi Kelab Belia Al-fateh


“Selebriti yang akan hadir adalah Hijjaz, Heliza dan Hazwani Helmi dan Yaat Hamzah. Manakala penceramah untuk forum perdana, kita hadirkan Ustaz Nik Omar Nik Aziz. Panel yang kedua, Ustaz Roslan Roslan Mohamed, (merupakan) panelis TV3 dan TV9. Yang ketiga, Dr Sharifah Hayati. Moderatornya ialah pegawai JAKIM sendiri iaitu Ustaz Hariri” kata Mohamad Nazrin.

Menurut Mohamad Nazrin lagi, Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan turut bersama dalam festival berkenaan dalam program diberi nama ‘Dad’s/Men The Tarik’.

Antara acara lain yang akan mengisi festival sepanjang tiga hari ini adalah Exco Halalan Thoyyiban; Program Sukan dan Remaja; Program Wanita Rahmah dan Deco Muslimat; Persembahan Seni dan Kebudayaan Ummatik; Persembahan Taranum Al Haramain dan Selebriti Nasyid; Pameran Agensi Kerajaan dan NGO; Peraduan Mewarna Soopa Doopa Kanak-Kanak; Pameran dan Pemeriksaan Kesihatan, Program Street Dakwah, Ziarah Rahmah Golongan Asnaf serta Jualan Makanan Kering dan Basah.

Festival ini dijangka akan dijadikan program tahunan dengan lokasi yang berbeza dan akan dianjurkan juga diperingkat daerah oleh masjid-masjid terpilih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *