Masjid Bawa Mesej Rahmah, Corak Masyarakat Mithali – Asmuni Awi

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar, Asmuni Awi hari ini memberi saranan agar masjid menjadi ‘kenderaan’ dalam mencorak masyarakat supaya menjadi masyarakat mithali dalam semua aspek kehidupan. Beliau berkata demikian dalam satu Sidang Media sempena Program Ummatic Festival 2.0 di pejabatnya pagi ini.

“Pendekatan Islam Rahmatan Lil A’lamin adalah polisi kerajaan Pakatan Harapan yang membawa mesej Rahmah dalam kegiatan masjid. Institusi masjid diharapkan menjadi ‘kenderaan’ untuk mencorak masyarakat Islam supaya menjadi masyarakat mithali dalam semua aspek kehidupan.” kata Asmuni Awi.

“Matlamat akhir bagi segala usaha ini adalah terbinanya satu masyarakat yang membawa nilai Rahmah sehingga lahirnya ‘sikon’ (situasi dan kondisi) yang diperlukan untuk menterjemahkan seluruh peraturan Islam dalam kehidupan individu dan bermasyarakat”, katanya lagi.

Dalam sidang media berkenaan Asmuni Awi turut menjemput semua lapisan masyarakat untuk turut serta dalam Program Ummatic Festival 2.0 yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 Oktober 2019 bertempat di Masjid Al-Fateh, Taman Jati, Ipoh

“Saya menjemput semua lapisan masyarakat daripada kepimpinan masjid, pegawai dan kakitangan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan, MPKK, para remaja, ibu bapa, kanak-kanak serta ahli-ahli kariah ke Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Ipoh untuk kita sama-sama menjayakan program Festival Umatic 2.0 ini”, kata Asmuni Awi.

Dijangka 10 ribu pengunjung pelbagai kaum dan peringkat umur bakal menyertai pelbagai acara menarik dalam program berkenaan antaranya pameran makanan halal dan kesenian oleh agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan, sukan, peraduan mewarna, program street dakwah, ziarah rahmah golongan asnaf dan jualan makanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *