Asnaf jadi tumpuan Kerajaan Perak dalam Bajet 2020

IPOH: Nasib golongan asnaf bakal menjadi antara perkara yang menjadi tumpuan kerajaan negeri dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2020 tidak lama lagi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri akan memberikan fokus kepada usaha untuk membantu mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan.

“Kami masih merangka bajet yang akan dibentangkan. Selain mengekal serta memperhebatkan perkara-perkara baik yang sedang dilaksanakan untuk rakyat, kami juga akan fokus kepada golongan asnaf.

“Berkat kerja kuat rakyat, insya Allah tahun depan hasil negeri akan bertambah. Kita mahu pulangkan semula hasil tersebut kepada rakyat dan untuk itu, kita akan berusaha membawa golongan ini keluar dari kepompong kemiskinan selain membantu mendaya upayakan mereka,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Agrofest Negeri Perak 2019 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, petang semalam.

Ditanya harapan terhadap Pembentangan Bajet Persekutuan pada 11 Oktober depan, Ahmad Faizal berkata, kerajaan Persekutuan diharap dapat memberi perhatian terhadap hasrat kerajaan negeri untuk membesarkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh.

“Selain itu kita juga mengharapkan lebih banyak pembangunan prasarana dapat dilaksanakan di Pulau Pangkor, sesuai dengan hasrat menjadikannya sebagai Pulau Bebas Cukai, Januari tahun depan,” jelasnya lagi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *