Buang pandangan skeptikal, santuni KEMAS

TANJUNG MALIM: Biarpun ada mulut-mulut nakal yang mengatakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan ditutup sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan, tetapi realitinya segala dakwaan tersebut ternyata tidak benar.

Sebaliknya, kata Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, kerajaan sentiasa mengiktiraf institusi tersebut tanpa menganggu atau memberi tekanan politik kepada mereka.

Namun begitu, beliau tidak menafikan adanya pandangan skeptikal sesetengah pihak kepada KEMAS oleh kerana sebelum ini institusi tersebut sangat sinonim dengan parti pemerintah terdahulu, tetapi pandangan sedemikian semakin lenyap hari demi hari.

“Saya mengingatkan kepada kakitangan KEMAS agar sentiasa bertindak profesional dalam berkhidmat dan mestilah memberi kerjasama yang baik dengan pihak kerajaan.

“Kami tegaskan, kerajaan yang ada pada hari ini tidak akan sekekali memanipulasi kakitangan kerajaan termasuklah KEMAS, namun mereka hendaklah sentiasa membawa aspirasi dan hala tuju kerajaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Ramah Mesra bersama kakitangan KEMAS Tanjung Malim, disini baru-baru ini.

Di dalam program tersebut, Hasnul telah membuka ruang kepada kakitangan KEMAS untuk meluahkan perasaan dan harapan mereka dan antara yang mereka sangat harapkan ialah pihak kerajaan haruslah sentiasa menyantuni mereka.

“Mereka masih tidak mengenali dengan lebih dekat para pimpinan yang ada pada hari ini sama ada di peringkat kawasan, negeri mahupun nasional.

“Oleh yang demikian, mereka sangat berharap agar pihak kerajaan memperbanyakkan program dan aktiviti bersama dalam mendekatkan KEMAS dan pimpinan kerajaan yang ada pada hari ini.

Beliau menjelaskan, warga KEMAS tidak mahu mana-mana pihak memandang sinis kepada mereka, kerana mereka sentiasa komited berkhidmat dengan kerajaan pada hari ini biarpun mereka mengakui ada dari kalangan mereka mempunyai aliran politik yang berbeza.

“Dalam hal KEMAS, saya adalah antara pimpinan Kerajaan Negeri Perak yang kerap mengadakan program bersama kakitangan KEMAS terutamanya di DUN Titi Serong.

“Ini kerana saya tahu, fungsi dan peranan KEMAS sangat besar kepada masyarakat dan mereka ini wajar disantuni serta perlu diberi perhatian agar mereka dapat bersama dalam membangunkan masyarakat dan negara,” jelasnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *