Ahmad Faizal kecewa Perak gagal pertahan Piala Malaysia

IPOH: Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan rasa kecewa ekoran kekalahan 1-3 pasukan Perak kepada Selangor dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam kelmarin.

Menurutnya, kekalahan itu bermakna Perak gagal mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu selain menamatkan saingan musim ini tanpa sebarang trofi.

“Sama seperti yang dirasai oleh para penyokong dan peminat tegar The Bos Gaurus, saya juga merasai keperitan melihat pasukan kesayangan kita tewas kepada Selangor dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.

“Seperti kebanyakan pasukan lain, kita juga gagal membawa pulang sebarang piala tahun ini.

“Gelaran naib juara Piala Sumbangsih dan naib juara Piala FA sama sekali tidak membawa kemanisan yang sama seperti mendakap piala,” katanya dalam laman Facebook beliau, lapor Utusan.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata, musim ini bukan tahun sempurna buat skud The Bos Gaurus namun Pafa telah cuba melakukan segala yang terdaya bagi mencapai kejayaan.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada para pemain, barisan jurulatih, para pegawai dan kakitangan pasukan di atas usaha, komitmen dan kesungguhan ditunjukkan sepanjang mengharungi musim yang mencabar.

“Tidak dilupakan kalangan pemain ke-12 iaitu para penyokong setia The Bos Gaurus yang sentiasa teguh berdiri di belakang pasukan.

“Tatkala menang kita gembira, tatkala tewas kita setia.InsyaAllah, kita akan bangkit dengan kekuatan baharu dan memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Shah Alam Ahad lalu, Perak tewas 1-3 kepada Selangor.

Kekalahan itu menyaksikan Selangor ke separuh akhir dengan agregat 3-2 setelah pasukan itu kalah 0-1 kepada Perak di Stadium Perak di Ipoh dalam perlawanan suku akhir pertama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *