Lembam, OKU punya masa depan dan mampu berjaya

BATU GAJAH: Golongan lembam dan orang kelainan upaya (OKU) mempunyai masa hadapan dan mampu berjaya sekiranya kita bersama-sama menyantuni dan memberi perhatian kepada mereka.

Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, golongan ini janganlah sesekali dipinggirkan, mereka harus diberi peluang dan ruang untuk turut bersama memperoleh kejayaan di dalam kehidupan mereka.

“Mereka memerlukan sokongan, dorongan dan semangat daripada kita. Yakinlah, mereka juga punya masa depan dan mampu berjaya seperti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kolej Teknologi Midas yang terletak di Taman Batu Gajah Perdana, Batu Gajah baru-baru ini.

Hasnul menyantuni para pelajar di kolej tersebut. Mereka ini adalah dari kalangan lembam dan OKU.

Kolej tersebut merupakan sebuah pusat bertauliah kecemerlangan yang melatih dan mendidik pelajar dalam bidang Perhotelan melalui modul kursus yang berasaskan standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) yang ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Kolej Teknologi Midas ini menawarkan program “Penyediaan dan Pembuatan Makanan” dan bakal memperkenalkan Sijil Teknologi Kimpalan & Fabrikasi.

“Seperti sedia maklum, Kerajaan Pakatan Harapan sangat memberi keutamaan terhadap pembangunan sistem Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET).

“Ini kerana sektor-sektor berkaitan sangatlah memerlukan para pekerja yang berkemahiran serta berkelulusan,”jelasnya.

Beliau berkata, Kolej Teknologi Midan ini sangat menarik kerana membuka peluang kepada golongan yang istimewa untuk menuntut ilmu termasuklah pelajar yang mempunyai masalah lembam.

“Saya agak tersentuh kerana seorang anak saya juga telah diuji dengan penyakit sedemikian. Selain itu kolej ini membuka peluang kepada pelajar kelainan upaya (OKU) untuk menuntut ilmu.

“Saya melihat usaha kolej ini sangatlah murni kerana membuka ruang dan peluang seluasnya kepada golongan istimewa ini untuk menuntut ilmu seterusnya mempunyai kelulusan dan kemahiran untuk masa depan mereka,” katanya.

Dalam kunjungan tersebut, Hasnul juga telah mendengar taklimat daripada pihak pentadbir yang diketuai oleh Ketua Eksekutifnya, Abd Azis Md Aris.

Kolej tersebut memberi harapan yang tinggi kepada Kerajaan Negeri Perak untuk bekerjasama dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berkemahiran seterusnya melahirkan para pekerja yang selari dengan kehendak semua sektor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *