MB Perak tegaskan tiada pembalakan haram di kawasan Orang Asli

IPOH: Kerajaan Negeri Perak menjelaskan bahawa semua permit pembalakan di negeri itu hanya dikeluarkan di kawasan hutan simpan yang dibenarkan dan tidak membabitkan kawasan penempatan Orang Asli sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata tidak ada sama sekali kawasan penempatan atau tanah Orang Asli yang telah diceroboh bagi memberi laluan kepada aktiviti pembalakan.

“Biarpun begitu, Menteri Besar telah memutuskan untuk menangguhkan sementara aktiviti pembalakan di kawasan Sungai Papan, Hulu Perak sehingga perbincangan mengenai isu yang dibangkitkan oleh komuniti Orang Asli diselesaikan.

“Pendirian ini telah dinyatakan dengan jelas dalam satu kenyataan bersama Menteri Besar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy pada 1 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Kenyataan itu bagi merujuk surut pembaca yang disiarkan sebuah portal berita kelmarin.

Ahmad Faizal berkata, penulis dengan begitu cuai membuat dakwaan yang sama sekali tidak tepat kononnya pembalakan haram berlaku secara berleluasa di kawasan penempatan Orang Asli dan tiada sebarang tindakan oleh kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat kepentingan masyarakat Orang Asli dan setakat ini sudah merizabkan hampir 14,000 hektar tanah membabitkan 70 penempatan komuniti Orang Asli di bawah Akta Orang Asal 1954.

Beliau berkata, kebanyakan tanah rizab itu terletak di kawasan hutan simpan membabitkan kawasan penempatan, kawasan pertanian dan kawasan rayau.

“Selepas Menteri Besar mengangkat sumpah pada Mei tahun lalu, kerajaan negeri sudah memulakan proses untuk meluluskan tambahan 5,176 hektar tanah rizab untuk 27 penempatan Orang Asli di Perak.

“Ini adalah jumlah keluasan tanah rizab untuk komuniti Orang Asli yang terbesar oleh mana-mana kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) juga sudah diarahkan untuk mengambil penempatan Orang Asli sebagai kampung angkat di mana program untuk memperkasa pendidikan, latihan kemahiran, aktiviti ekonomi dan pelbagai inisiatif lain digerakkan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Ahmad Faizal juga sudah mengarahkan aktiviti pembalakan di Hulu Perak dihentikan sementara awal tahun ini susulan laporan mengenai pencemaran di Sungai Rui.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa sedia mendengar cadangan dan kritikan membina untuk memelihara kepentingan negeri dan rakyat, tetapi ia hanya dapat memberi manfaat kepada semua pihak jika sebarang surat dari pembaca diterbitkan selepas melalui proses semakan fakta yang wajar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *