Sekretariat Mahasiswa Perak platform bina pelapis kepimpinan

IPOH: Sekretariat Mahasiswa Perak (SMP) ditubuhkan bagi membina platform dan wadah penghubung kepada mahasiswa anak Perak di institut pengajian tinggi (IPT) dengan kerajaan negeri.

SMP merupakan sebuah pertubuhan bawah naungan Kerajaan Negeri Perak melalui Yayasan Perak dam sekretariat ini telah didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Pengerus SMP, Khairol Najib Hashim berkata, sekretariat ini adalah cetusan idea dan perbincangan bersama beberapa pihak seperti pensyarah universiti, aktivis mahasiswa, sukarelawan, Yayasan Perak dan pimpinan Kerajaan Negeri Perak.

“Hasil daripada perbincangan tersebut, pihak Yayasan Perak, sebuah agensi di bawah Kerajaan Negeri Perak telah mengesyorkan untuk dibentuk satu Jawatankuasa Penaja bagi memulakan gerak kerja menubuhkan SMP secara sah mengikut peraturan pendaftaran pertubuhan yang digariskan oleh ROS.

“Resolusi perbincangan itu direalisasikan dan SMP telah didaftar sebagai pertubuhan dan dibenarkan untuk membuat pelantikan Ahli Majlis serta menjalankan aktiviti secara sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Majlis Sekretariat Mahasiswa Perak yang menerima tauliah dalam satu majlis 28 September lalu.

Beliau berkata, selepas mendapat mandat, SMP telah membuat Majlis Pentauliahan Ahli Majlis dan Ahli Majlis Kehormat pada 28 September yang lalu.

Kata beliau, SMP telah disarankan oleh pihak Yayasan Perak sebagai sebuah badan yang diberi tanggungjawab secara ‘legal’ untuk mengelola, menyelaras dan melaksanakan program-program kemahasiswaan selain membuka pendaftaran kepada Mahasiswa Perak seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi tujuan penyebaran maklumat program dan insentif yang disediakan Kerajaan Negeri.

SMP juga katanya diberi peranan untuk menyelaras pertubuhan atau persatuan Mahasiswa Perak di seluruh IPT dan bertindak sebagai penghubung antara Mahasiswa Perak dan Kerajaan Negeri melalui program-program yang dijalankan seperti persidangan Ahli Majlis SMP yang diadakan baru-baru ini.

“Dalam Majlis Pentauliahan Ahli Majlis Sekretariat Mahasiswa Perak sesi 2019-2020 yang diadakan pada 27 September lalu, kami telah melantik Ahli Majlis mewakili 23 IPT dalam negara bagi kumpulan pertama.

“Kami juga sedang mengenal pasti calon-calon Ahli Majlis mewakili IPT yang belum dilantik bagi pentauliahan kumpulan kedua.

“Calon-calon Ahli Majlis ini dicadangkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) di IPT masing-masing kepada SMP,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairol menjelaskan, SMP mengakui terdapat beberapa kumpulan mahupun pertubuhan mahasiswa yang dibentuk dan digerakkan oleh pelbagai pihak.

Sekretariat ini katanya tidak mempunyai autoriti untuk menghalang dan menyekat mana-mana persatuan dan pertubuhan untuk bergerak dan beraktiviti.

Tegasnya, SMP adalah organisasi rasmi yang diberi mandat oleh Kerajaan Negeri Perak untuk menguruskan hal berkaitan mahasiswa di negeri ini.

“SMP mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama oleh semua pihak sama ada pertubuhan mahupun individu dalam menggerakkan mahasiswa anak Perak di semua peringkat sama ada dalam dan luar negara.

“Pihak kami juga bersedia untuk menerima sebarang cadangan atau pandangan yang boleh memperbaiki kelemahan yang ada dalam memperkasa peranan dan bakat Mahasiswa Perak untuk manfaat bersama,” jelasnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *