SMK Pinji ternak tilapia dalam longkang

IPOH: Jika kebiasaannya ikan air tawar diternak di dalam sungai atau kolam ikan tetapi berlainan bagi warga Sekolah Menengah Kebangsaan Pinji di sini yang membela lebih 100 ekor ikan tilapia merah di dalam longkang sekolah berkenaan.

Menurut pengetuanya, Norehan Salbidi idea membela ikan di dalam longkang sepanjang 25 meter itu tercetus sejak Disember tahun lalu sebagai terapi minda para pelajar serta digunakan untuk bahan pembelajaran bagi subjek Sains selain mampu menjana ekonomi sekolah.   

Katanya, projek ternakan ikan sejak April itu bermula dengan empat ekor tilapia merah serta membaik pulih struktur dan saliran longkang dengan kos sejumlah RM100 sahaja.

“Kita telah menjual 30 ekor kepada warga sekolah dengan harga serendah RM1 hingga RM5 seekor dan hasil jualan kita gunakan membeli makanan ikan dan belum bercadang untuk menjualnya secara komersial.  

“Ikan yang diternak ini dijaga sepenuhnya oleh tukang kebun sekolah yang membersihkan dan memberi makan kepada ikan-ikan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh dan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Howard Lee Chuan How hari ini.

Norehan berkata pihaknya bercadang untuk menternak lebih banyak jenis ikan dan sedang dalam perancangan membela ikan koi tidak lama lagi.

“Sekarang ini, kami dalam proses menaik taraf cara penternakan seperti menggunakan sistem penapisan selain akan membina tangki untuk menakung air bagi ikan-ikan tersebut kerana ketika ini kita hanya menggunakan air hujan,” katanya.  

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *