Tujuh kampung Orang Asli di Perak terima manfaat air bersih

TAPAH: Nasib masyarakat Orang Asli di tujuh perkampungan dalam daerah Batang Padang mendapat pembelaan apabila mereka kini mampu menikmati bekalan air bersih dan selamat hasil usahasama di antara Yayasan Sultan Azlan Shah dan IMAM Response and Relief Team (IMARET).

Melalui usahasama itu, IMARET telah memasang 10 Sistem Rawatan Air Lapangan Safe Everywhere (Safewhere) di tujuh perkampungan Orang Asli di sini, termasuk pembinaan sebuah empangan mini di Kampung Sekam Bawah, Batu 17.

Projek yang dimulakan pada 27 Julai 2019 itu selesai pada 8 September lalu dengan siapnya pemasangan di Kampung Landing Zone Batu 17, yang hanya boleh diakses melalui motosikal atau tiga jam berjalan kaki.

Majlis perasmian di Kampung Batu 14 pagi tadi telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Turut berangkat mencemar duli ke majlis itu adalah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian.

Turut hadir adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi, Yang Teramat Mulia Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah Bin Raja Ashman Shah, Pemegang Amanah Yayasan Sultan Azlan Shah, Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Dato Seri Diraja Tan Sri Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Rasiah Binti Mohd Noor, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Zainal Azman Abu Seman, Yang Berbahagian Orang-Orang Besar Negeri Perak Darul Ridzuan, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Prof Dr Juli Edo, Naib Presiden Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM) Dr Jamali Wagiman dan Ketua Koordinator IMARET, Dr Ahmad Munawar Helmi Salim.

IMARET sebelum ini bergiat aktif dalam membantu membekalkan air bersih dan selamat bukan sahaja kepada masyarakat luar bandar, tetapi juga beberapa kawasan bencana kemanusiaan di luar negara seperti di Cox’s Bazar, Bangladesh dan penempatan sementara mangsa bencana gempa dan tsunami di Palu, Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *