Syarikat Taiwan labur RM40 juta bina kilang baharu di kawasan perusahaan Kamunting

TAIPING: Syarikat pengeluar kertas penutup atau masking paper, Lih Mei Industrial Sdn Bhd dari Taiwan melabur sebanyak RM40 juta untuk membina kilang baharu di Kawasan Perusahaan Kamunting di sini.

Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada RM100 juta jumlah pelaburan daripada syarikat itu sejak memulakan operasi di sini pada 1996.

Katanya kilang baharu yang dibina pada Sept tahun lalu dijangka siap pada akhir tahun ini yang akan menawarkan 100 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.

“Peningkatan pelaburan dari Taiwan itu membuktikan syarikat dari negara tersebut berminat untuk melabur di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas melawat kilang Lih Mei Industrial Sdn Bhd di Kamunting di sini baru-baru ini.

Mohammad Nizar berkata syarikat itu mengeluarkan pelbagai produk kertas penutup untuk dipasarkan di negara ini, selain Thailand, Vietnam, China, Taiwan, Jepun dan Indonesia.

Katanya pelabur asing berminat melabur di Malaysia termasuk negeri ini kerana rantau Asia masih tidak mengenakan tarif dan peluang untuk melabur terbuka luas berbanding negara lain.

Sementara itu, Mohamad Nizar berkata kerajaan negeri akan mengadakan Ekspo Antarabangsa Perak 2019 (PIEX 2019) di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 14 hingga 17 Nov ini.

Beliau berkata antara tujuan ekspo itu ialah menarik pelabur asing melabur di negeri ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *