Jangan samakan pemberontak LTTE dengan pejuang Palestin

IPOH: Pandangan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mengatakan tindakan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) mempunyai persamaan dengan pejuang Palestin adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, Santiago seharusnya memahami bahawa apa yang berlaku di Palestin adalah berbeza dengan Sri Lanka yang melibatkan pemberontak LTTE.

“Di Pelestin, rakyat di sana memperjuangkan hak kedaulatan tanah air mereka yang dirampas secara haram oleh Israel dan bertindak mempertahankan diri daripada serangan ketenteraan Israel.

“Malah wilayah Gaza yang dimiliki Palestin turut menjadi sasaran oleh Israel dan serangan ketenteraan turut dilakukan kepada warga Palestin di sana,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, ia berbeza dengan keadaan di Sri Lanka, LTTE melakukan aktiviti pemberontakan dan meminta wilayah autonomi kerana tidak bersetuju dengan dasar pemerintah Sri Lanka.

Jelas beliau, kumpulan LTTE telah disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak Februari 2014.

“Adalah lebih tepat sekiranya beliau menyamakan kumpulan LTTE ini dengan kumpulan Daesh atau ISIS yang turut disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di negara ini.

“Sekiranya beliau yakin dengan dakwaannya bahawa kumpulan ini tidak lagi wujud, maka tidak ada sebab untuk beliau bimbang mereka yang ditahan ini bersalah” tegas Exco Kerajaan Negeri Perak itu.

Dalam sidang media PDRM, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay juga telah memberi jaminan kepada semua suspek untuk dibenarkan melantik peguam dan dibicarakan mengikut proses perundangan.

“Justeru, adalah lebih baik sekiranya beliau menyerahkan kes ini kepada PDRM dan Jabatan Peguam Negara untuk menentukan sama ada mereka yang ditahan bersalah atau sebaliknya,” tegasnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *