Pilihan raya negeri tidak mungkin akan berlaku, tegas MB Perak

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mungkin akan berlaku di negeri ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Perak di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada masa kini masih utuh dan kuat tidak seperti didakwa sesetengah pihak.

“Tak perlu kita nak adakan (PRN), tak perlulah juga saya mengadap baginda Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Negeri atau sebagainya.

“Saya bersama rakan-rakan Exco sedang memberi tumpuan penuh kepada usaha membangunkan negeri.

“Pada ketika ini pun saya sedang bersiap sedia menyampaikan Belanjawan 2020 Negeri yang akan dibentangkan bulan hadapan,” katanya kepada pemberita hari ini, lapor Sinar Harian.

Ahmad Faizal berkata, selaku ketua negeri, beliau sentiasa menggalakkan ahli politik sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang memberi fokus kepada usaha pembangunan rakyat dan negeri.

“Bukannya terus terusan berpolitik untuk dapatkan kuasa dan bercakaran sesama sendiri yang boleh merosakkan negara.

“Bagi saya, pilihan raya tetap akan berlaku selagi dunia belum kiamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan tular bahawa PRN kemungkinan akan diadakan di Perak susulan terdapat ura-ura beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan mahu meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri selaku wakil rakyat Bebas.

Selasa lepas, tersebar surat mengenai lawatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke sekolah-sekolah di Perak.

Bagaimanapun, SPR hari ini menjelaskan perkara itu merupakan urusan semakan yang dijalankan SPR dari semasa ke semasa dan sedang berjalan di semua negeri seluruh Malaysia sejak Disember 2018 bagi tujuan melihat kesesuaian pusat mengundi sedia ada.

Terdahulu Ahmad Faizal ditemui pada majlis pelancaran ETS2 dan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama ke program itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *