Al-Hidayah terima anugerah SPM, UPSR terbaik kategori SAR

IPOH: Sekolah Menengah Al Hidayah Ipoh (SMAH) dan Sekolah Rendah Al-Hidayah Seri Iskandar (SRAHSI) masing-masing menerima anugerah Pencapaian Terbaik SPM dan Pencapaian Terbaik UPSR kategori Sekolah Agama Rakyat (SAR) bagi tahun 2018. Kedua-dua anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam peringkat negeri Perak Tahun 2019 di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di sini, hari ini.

Guru Besar SRAHSI, Ustazah Noor Fazila binti Othman ketika ditemui selepas majlis berkenaan menyatakan rasa syukurnya dan ucapan terima kasih kepada semua yang telah berusaha ke arah kecemerlangan UPSR bagi tahun 2018.

“Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Rasa sangat gembira dan terima kasih kepada semua guru-guru SRAHSI. Anugerah ini adalah berkat usaha tekun semua guru serta murid-murid, juga sokongan daripada ibu bapa dan Jemaah Pengurusan Sekolah SRAHSI” katanya.

Ustazah Fazila menerima anugerah Pencapaian Terbaik UPSR.

Sementara itu, Pemangku Pengetua SMAH, Ustazah Khairiah binti Ismail menyatakan harapannya agar anugerah ini menjadi titik tolak kepada seluruh warga Al-Hidayah khususnya dan seluruh warga pendidik di Perak amnya agar terus bertungkus-lumus meningkatkan prestasi masing-masing supaya kecemerlangan pelajar akan terus dapat ditingkatkan. SMAH turut mengungguli anugerah yang sama dalam majlis yang sama berturut-turut sejak tahun 2013 walaupun gagal mengekalkannya pada tahun 2017.

Ustazah Khairiah selaku Pemangku Pengetua SMAH menerima anugerah Pencapaian Terbaik SPM

Dalam majlis yang sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 106 penerima meliputi pelbagai peringkat dan kategori selain turut menyampaikan Sijil Pengajian Masjid kepada 49 penerima.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang Tahun 2019 kepada dua warga pendidik iaitu Rogayah Kassim dan Megat Aznir Megat Said serta Anugerah Tokoh Guru Tahun 2019 kepada Abdul Hamid Mohamad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *