Kerjasama awam swasta projek lapangan terbang rintis jalan tingkat kehadiran pelancong

IPOH: Keputusan kerajaan Persekutuan mempelawa cadangan Kerjasama Awam Swasta untuk projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh akan merintis jalan kepada usaha kerajaan negeri meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata usaha itu juga akan menarik penerbangan antarabangsa terus dari selatan India dan China, sekali gus membantu sektor pelancongan dan menjana pelaburan baharu di Perak.

Katanya projek menaik taraf LTSAS, termasuk pelebaran landasan juga akan menjadi pelengkap, kepada Pembangunan Bersepadu Stesen Keretapi Ipoh sebagai hub pengangkutan Bandaraya Ipoh, melalui konsep pembangunan berorientasikan transit yang dilancarkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Khamis lepas.

“Sebagai pelengkap kepada rancangan membangunkan kemudahan pengangkutan awam di Perak, kerajaan negeri akan berunding dengan kerajaan Persekutuan, untuk mendapatkan sebahagian daripada peruntukan RM450 juta, bagi menyediakan bas elektrik di Bandaraya Ipoh dan bandar-bandar lain di negeri ini”, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya semua projek infrastruktur pengangkutan awam itu bakal menjadi katalis dalam memacu pembangunan ekonomi negeri dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Perak. 

Pelawaan kerjasama Awam Swasta untuk projek menaik taraf LTSAS diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 semalam.

Kerajaan negeri sebelum ini merancang untuk memanjangkan landasan di LTSAS kira-kira 500 meter lagi, bagi menambah panjang landasan dua kilometer sedia ada, bagi membolehkan kapal terbang bersaiz lebih besar mendarat.

Ahmad Faizal turut merakamkan terima kasih atas beberapa pengumuman yang secara langsung melibatkan Perak, termasuk pembinaan Hospital Kampar yang baharu, serta pusat rehabilitasi dengan kos RM500 juta yang bakal dilengkapi teknologi terkini.

Mengenai pelantikan renjer hutan dalam kalangan askar bersara dan Orang Asli, bagi melindungi flora dan fauna serta perkhidmatan Klinik Bergerak, menteri besar itu berkata ia amat membantu usaha kerajaan negeri membela nasib 65,000 Orang Asli di negeri itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *