Pusat rehabilitasi di Perak bakal jadi terbesar di Asia Tenggara

Pusat rehabilitasi di Perak bakal jadi terbesar di Asia Tenggara

IPOH: Pembinaan pusat rehabilitasi baharu dengan kos sebanyak RM500 juta di Perak dijangka akan menjadi pusat terbesar seumpamanya di Asia Tenggara apabila siap kelak, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan.

Beliau berkata pusat itu dijangka akan dibina di kawasan seluas 40.4 hektar di Lembah Kinta serta  berhampiran susur keluar Lebuhraya Utara Selatan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan. 

“Beberapa lokasi sudah dikenal pasti dan ia berada dalam peringkat akhir, cuma tinggal kerja tender sahaja,” katanya kepada Bernama.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membina pusat baharu itu yang bakal dilengkapi teknologi terkini termasuk robotik, rawatan trauma dan pusat kecemerlangan bagi mencegah kemalangan, dengan kerjasama agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, Sivanesan berkata pusat rehabilitasi itu kelak akan memberikan manfaat kepada pekerja khususnya yang berada dalam skim pencen ilat untuk dipulihkan secara fizikal dan vokasional. 

Menurutnya, pembinaan pusat tersebut juga mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. 

Mengenai peruntukan RM1.6 bilion bagi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf serta membesarkan hospital sedia ada di beberapa negeri termasuk Hospital Kampar, Sivanesan berkata ia satu berita gembira bagi penduduk sekitar kawasan itu kerana permintaan mengenai pembinaan hospital baharu sudah lama dibuat.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )