Universiti bertanggungjawab bina karakter, jiwa graduan

KUALA LUMPUR: Universiti wajib mengambil tanggungjawab untuk membina karakter dan mencanai jiwa insan secara menyeluruh dan bukan hanya menghasilkan bilangan graduan yang ramai, kerana ia belum menyempurnakan sepenuhnya tanggungjawab terhadap negara, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah, dalam memenuhi peranan sebagai institusi pendidikan, universiti sewajibnya memberi perhatian serius terhadap laporan kepincangan di pelbagai organisasi, akibat perbuatan individu ataupun kelompok terpelajar yang melakukan perbuatan pecah amanah, rasuah, penipuan dan menyalah guna kuasa.

“Lebih tinggi ijazah yang dimiliki, lebih besar amanah yang akan dipertanggungjawabkan. Menyerahkan amanah kepada insan yang tidak memiliki sifat amanah dan tidak menghargai nilai amanah, menyamai perbuatan menyerahkan sekandang biri-biri untuk dijaga oleh seekor atau sekumpulan serigala. Individu yang tidak amanah akan memudaratkan warga, agama, negara dan tamadun,” titah baginda.

Baginda yang juga merupakan Tuanku Canselor Universiti Malaya bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli untuk menyempurnakan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-59, hari ini.

Titah Sultan Nazrin, ijazah adalah pakaian luaran yang memberi identifikasi tahap dan bidang penguasaan ilmu seseorang graduan, tetapi faktor yang tidak boleh dipinggirkan dan semakin penting kini ialah kejayaan menyemaikan nilai-nilai murni, dalam roh setiap graduan, bagi memastikan mereka memiliki kekuatan dalaman serta menghayati aspek-aspek etika, moral, akauntabiliti dan integriti ketika berdepan cabaran hidup dalam dunia sebenar.

Baginda turut memetik perangkaan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang menunjukkan dari 2014 hingga Jun 2019, seramai 4,860 individu ditahan kerana rasuah dan daripada jumlah tersebut, seramai 2,594 individu atau 53.4 peratus adalah golongan muda berusia bawah 40 tahun.

Manakala hasil kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002 mendapati, 30.5 peratus daripada pelajar universiti yang menjadi responden menyatakan kesanggupan menerima rasuah, membayangkan nilai integriti dalam kalangan anak muda semakin terhakis.

“Imej sesebuah universiti bukan hanya diwarnakan dengan bilangan dan tahap pencapaian kerjaya graduan yang dihasilkan, tetapi universiti juga menerima tempias negatif, jika ramai daripada graduan yang dihasilkan olehnya menghadapi pelbagai dakwaan jenayah di mahkamah, atau meringkuk dalam penjara,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut bertitah mengingatkan para graduan yang bakal berdepan dunia sebenar selepas ini, agar menghindarkan diri daripada terjebak dengan perbuatan yang boleh memusnahkan diri dan mengaibkan keluarga.

“Istiadat konvokesyen ini mencipta kejayaan yang membawa kebanggaan kepada diri, kepada keluarga. Lengkapkan kejayaan ini dengan nilai moral yang murni, agar saudara saudari terus mengangkat martabat diri dan nama baik keluarga,” titah baginda yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan.

Istiadat konvokesyen kali ini menyaksikan 6,562 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Daripada jumlah tersebut, seramai 477 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam sidang pagi ini, diikuti sembilan sidang lagi untuk penganugerahan 2,026 Ijazah Sarjana dan Diploma Pasca Siswazah, 2,965 Ijazah Sarjana Muda dan 1,094 diploma lanjutan dan diploma.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *