Bimbing, nasihat, tunjuk ajar kepada kami, kata Hasnul kepada institusi mufti

IPOH: Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menyeru dan merayu kepada institusi mufti agar turut serta dalam membimbing, menasihati dan memberi tunjuk ajar kepada kerajaan serta masyarakat dalam mendepani cabaran semasa.

Dalam usaha itu juga, beliau turut berharap agar instiusi ini dapat bersama-sama membantu kerajaan menterjemahkan nilai Islam dalam pentadbiran serta membawa gagasan Islam Rahmatan lil Alamin dalam erti kata sebenar.

Ini kata beliau bagi membolehkan nilai-nilai Islam bukan sahaja berada dalam hal-hal yang berkaitan dengan institusi dan pentadbiran Islam tetapi menyeluruh kepada setiap hal ehwal pentadbiran dan kehidupan.

“Alhamdulillah dalam pembentangan Belanjawan 2020 juga, peruntukan yang diberikan untuk Hal Ehwal Islam, pengurusan dan pembangunan telah ditingkatkan sebanyak 100 juta daripada belanjawan sebelum ini dengan nilai keseluruhan sebanyak 1.3 bilion untuk tahun hadapan.

“Mudah-mudahan dengan peruntukan ini, instiusi-institusi agama yang berada di negara ini seperti juga Jabatan Mufti dapat terus meningkatkan peranan dengan program-program yang berimpak tinggi dan berupaya membina minda dan pemikiran yang sihat di kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Liqa’ Mahabbah Jabatan Mufti Semalaysia di Casuarina@Meru, disini semalam.

Hasnul bergambar dengan barisan mufti dan seluruh kontinjen Jabatan Mufti Semalaysia.
Hasnul menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan mufti-mufti negeri serta seluruh kontinjen dari seluruh negeri Perak.

Hasnul yang juga Adun Titi Serong menjelaskan, sememangnya Mufti atau Jabatan Mufti mempunyai peranan yang cukup besar dalam membina minda dan pemikiran masyarakat.

Katanya, ini juga penting kerana sebagai salah satu elemen yang kita perlukan untuk menjadikan seseorang itu sihat, individu tersebut bukan sahaja perlu sihat dari segi fizikalnya malah sihat pemikiran mindanya.

“Lanjutan daripada itu kita lihat dalam suasana hari ini, demokrasi telah membuka pelbagai pandangan mengambil bahagian dalam membincangkan sesuatu isu atau polemik.

“Tidak ketinggalan, pandangan Mufti dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Mufti kadang kala turut diberi perhatian dan menjadi antara pihak yang sering dirujuk oleh wartawan untuk diambil kenyataannya,” katanya lagi.

Secara peribadi, beliau katanya gembira apabila masyarakat juga mengambil kira pandangan ahli agama dalam menilai pandangan serta maklumat yang diterima.
“Cuma dalam kita meraikan keterbukaan ini, kita juga ada tanggungjawab besar untuk memastikan apa yang disampaikan tidak di salah erti atau dipergunakan untuk dijadikan punca kepada sesuatu yang tidak baik berlaku.

“Maka sebab itu, gagasan Negara Rahmah yang diperkenalkan pihak kerajaan, menekankan kepada semua pihak, tidak kira latar belakang, bangsa dan agama agar kesantunan dan kesusilaan menjadi priority dalam menyampaikan pandangan,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *