Perak berpotensi besar jadi hub industri buluh negara

IPOH: Kerajaan negeri komited untuk merealisasikan potensi besar Perak sebagai hab industri buluh negara dengan penubuhan tapak semaian, makmal tisu kultur serta bangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata berdasarkan sumber Inventori Hutan Negara kelima oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), dianggarkan terdapat lebih 15 juta rumpun buluh di negeri Perak.

Katanya, dianggarkan 4.64 juta rumpun daripadanya merupakan spesies buluh betong, di mana merupakan jumlah tertinggi yang direkodkan di negeri Perak berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Melalui penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (RD&C) dan strategi pemasaran “Green Products” buluh dan produk berasaskan buluh yang mantap, industri buluh mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana ekonomi masyarakat setempat.

“Saya menyeru pelabur untuk memanfaatkan potensi Perak sebagai hab industri buluh Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Buluh Sedunia Malaysia 2019 di Casuarina@Meru, disini semalam.

Sementara itu, Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata tapak semaian, makmal tisu kultur serta bangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) buluh di Lahat dijangka mengeluarkan 100,000 anak benih buluh berkualiti setiap bulan menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata tapak semaian itu akan mengeluarkan lima spesies buluh iaitu Buluh Semantan, Beting, Beti, Betung dan Buluh Hitam yang diluluskan sebagai inisiatif pembangunan industri buluh secara komersial.

Bagi menggalakkan aktiviti pengkomersialan tanaman buluh, beliau berkata Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah menyenaraikan buluh sebagai salah satu spesies di dalam Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) yang menawarkan pinjaman mudah kepada pihak industri yang berminat untuk mengusahakan penanaman buluh daripada lima jenis buluh berkenaan.

Menurutnya jumlah eksport buluh dan produk berasaskan buluh Malaysia pada tahun lepas adalah RM9.97 juta dan antara pasaran eksport utamanya adalah Jepun RM2.15 juta diikuti Amerika Syarikat RM1.98 juta dan Singapura RM1.17 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *