Sultan Nazrin Shah berkenan rasmi Sekolah Menengah Sains Tapah

TAPAH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Sains Tapah (Sesta) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi. 

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam ucapannya berkata Sesta merupakan sekolah bertaraf asrama penuh yang mempunyai keluasan 30 hektar dan dilengkapi dengan lima bangunan tiga tingkat, 30 bilik darjah, dua blok asrama, dewan dan kemudahan asas lain dengan kos pembinaan lebih RM38 juta.

“Kerja-kerja pembinaan sekolah ini mula dilaksanakan pada 12 Oktober 2006 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos 2009 untuk diserahkan kepada Kementerian Pendidikan pada 23 Oktober 2009,” katanya.

Teks ucapan Maszlee dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Dr Ahmad Rafee Che Kassim.

Beliau berkata Sesta yang terletak di Jalan Pahang iaitu kira-kira 4.5 kilometer dari pekan Tapah dan berada di dalam daerah Batang Padang mula menerima warga pendidik pada 1 Februari 2010 dan kemasukan pelajar pada 14 April 2010.

Katanya sehingga kini, warga Sesta terdiri daripada 755 orang murid, 66 guru dan 20 kakitangan sokongan.

Sepanjang 10 tahun pembukaannya, banyak kejayaan pelbagai peringkat berjaya dicapai dalam bidang akademik, keseluruhan pengembangan potensi dan bakat murid.

Antara kejayaannya ialah Anugerah Khas Emas dalam Japan Design and Invention Expo 2019, Anugerah Emas dalam International Conference of Young Scientist 2019 dan Anugerah Emas dalam 8th Malaysia International Young Inventors Olympiad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *