134 Surau, Masjid Di Perak Terima Bantuan Berjumlah RM5 Juta

IPOH: Kerajaan Negeri Perak melalui portfolio agama setakat ini telah mengagihkan sejumlah RM5 juta kepada 134 masjid dan surau seluruh Perak.

Bantuan itu telah diagihkan setelah melalui proses penilaian berdasarkan permohonan yang telah dibuat oleh jawatankuasa masjid dan surau itu sendiri. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi bahawa pihaknya setakat ini tidak pernah menolak mana-mana permohonan melibatkan bantuan surau dan masjid.

“Setakat ini, tak ada satu pun permohonan yang saya tolak. Cuma ada yang saya kurangkan dari nilai yang dipohon. Itu pun atas sebab-sebab tertentu.”

Kebanyakan bantuan yang dipohon adalah bertujuan untuk menaik taraf kemudahan masjid seperti menukar bumbung yang rosak, membaiki dan mengecat pagar, membaiki siling, membina prasarana seperti tandas dan bilik mandi mayat yang baru dan membaiki set alatan pembesar suara.

Asmuni Awi turut menyarankan agar bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri itu digunakan sebaik mungkin dalam usaha menjadikan masjid sebagai agensi yang benar-benar berperanan ditengah masyarakat secara keseluruhannya.

Keseluruhan cek telah diserahkan oleh Asmuni Awi secara berkelompok dalam beberapa siri majlis khas penyerahan yang dianjurkan sebelum ini. Selain itu, ada juga cek yang diserahkan terus kepada wakil jawatankuasa masjid dan surau dimana Asmuni Awi hadir sendiri ke masjid dan surau berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *