Masjid Perlu ‘Buka Pintu’ Seluasnya Untuk Program Masyarakat

Masjid Perlu ‘Buka Pintu’ Seluasnya Untuk Program Masyarakat

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Usahawan dan Pembangunan Luar Bandar, Asmuni Awi menyarankan agar semua masjid ‘membuka pintu’ untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada program kemasyarakatan.

Menurut beliau, peranan masjid tidak boleh hanya tertumpu kepada ibadah khusus seperti solat dan bacaan al-quran semata-mata, tapi harus diperluaskan lagi merangkumi keperluan yang lain dalam masyarakat.

“Kalau dulu, pemimpin-pemimpin Islam mengadakan pertemuan dengan wakil negara bukan Islam di masjid. Maknanya hubungan diplomatik itu dibina di masjid. Dan masjid juga digunakan untuk kegiatan-kegiatan yang lain. Dengan mengambil kira perjalanan sirah Rasulullah, sahabat dan kepimpinan Islam masa silam, saya mengharapkan selepas ini, bukalah pintu masjid dan surau itu untuk tujuan kemasyarakatan”

“Mana-mana masjid yang luas, boleh digunakan untuk tujuan kenduri-kendara. Tak perlu sekat jalan (di kawasan perumahan) untuk pasang khemah kenduri, yang mungkin akan menyusahkan orang lain. Kalau kita boleh gunakan kemudahan masjid seperti ini, bermaksud kita dah buka pintu masjid untuk keperluan masyarakat dan ini dapat mendekatkan kariah kita kepada masjid dan surau.” katanya.

“Kalau ada ruang yang luas, bukalah gelanggang futsal, gelanggang takraw dan permainan. Kita selalu memberi komen anak-anak muda tak mahu ke masjid. Salah satu daripada caranya adalah melalui tawaran-tawaran kemudahan seperti ini”, katanya lagi.

Namun begitu, beliau tidak menafikan amalan ibadah khusus seperti solat dan bacaan al-quran harus juga diberikan penekanan dan dipergiatkan.

Beliau juga turut menyarankan agar masjid tidak hanya menumpukan perhatian kepada kelompok yang datang ke masjid semata-mata sebaliknya berperanan secara meyeluruh kepada seluruh komuniti masyarakat yang berada di sekitar masjid.

“Bila kita bercakap mengenai kariah ini, kita bukan bercakap mengenai orang yang datang ke masjid (sahaja). Kariah ini sebenarnya merujuk kepada masyarakat dalam lingkungan sekitar dimana (kedudukan) masjid kita itu. Disitulah tanggjawab ahli jawatankuasa masjid dan surau. Bertanggungjawab kepada maslahah mereka, kebajikan mereka, masalah yang dihadapi ataupun yang diperlukan oleh mereka.” katanya.

Beliau menyatakan saranan tersebut dalam satu majlis penyerahan replika cek bantuan kerajaan negeri bertempat di Bilik Mesyuarat Korporat, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK), disini. Dalam majlis berkenaan, sebanyak 27 masjid dan surau telah menerima cek keseluruhan berjumlah lebih RM1.1 juta melalui wakil jawatankuasa masing-masing. Kesemua cek telah diserahkan sendiri oleh Asmuni Awi selaku exco bertanggungjawab menguruskan portfolio agama negeri.

Setakat ini, kerajaan negeri melalui portfolio agama telah mengagihkan sejumlah RM5 juta kepada 134 buah masjid dan surau seluruh Perak.

Dalam perkembangan yang lain, Asmuni Awi turut hadir ke beberapa masjid dan surau untuk menyerahkan sendiri cek bantuan yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri. Antara masjid berkenaan ialah Surau Al-Hasaniah, Kg Sungai Rapat; Masjid Al Ghufran, Manjoi dan Masjid Al-Muttaqin, Meru.

CATEGORIES

COMMENTS