Keluarga Orang Asli diberi sumbangan 170 anak pokok durian Musang King

TAPAH: Masyarakat Orang Asli di tiga perkampungan di sini, hari ini diberikan sumbangan 170 anak pokok durian Musang King, sebagai usaha menjana pendapatan selain hasil hutan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sumbangan daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) itu bertujuan meningkatkan pendapatan 93 keluarga dari kampung berkenaan melalui hasil tanaman durian.

“Tiga kampung yang menerima anak pokok durian berkenaan adalah Kampung Batu 13, Batu 13 1/2 dan Batu 14 yang juga kampung angkat kepada PPPNP. Kita berharap usaha ini dapat membantu penerima bantuan itu menjana dan menambah pendapatan mereka selepas tiga atau empat tahun akan datang.

“Sekarang ini majoriti mereka menjana pendapatan dari hasil hutan dan dalam kalangan anak muda pula mereka keluar bekerja di bandar,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan anak pokok durian Musang King di Kampung Batu 14 di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata, penerima mampu menambah pendapatan kira-kira RM4,000 semusim apabila pokok berkenaan telah berbuah. 

Dalam pada itu, Tok Batin dari Kampung Batu 14, Salim anak lelaki Bah Badan berkata, bantuan itu amat dialu-alukan dan diharap akan ditambah pada masa akan datang. 

“Sekarang ini, pendapatan kami dari hasil hutan seperti kayu, sayur dan buah, ia tidak menentu kerana bergantung pada musim. Anggaran sebulan sekitar RM300 ke RM400 sahaja yang kami peroleh,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *