Perusahaan kacang putih Perak bakal jejaki pasaran dunia

Perusahaan kacang putih Perak bakal jejaki pasaran dunia

IPOH: Kerajaan Negeri akan membantu pengusaha produk kekacang yang terkenal di Kampung Kacang Putih, Buntong di sini untuk memperluaskan perniagaan ke pasaran dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata ini kerana kampung itu adalah satu-satunya kampung yang didapati mengeluarkan pelbagai produk berasaskan kacang sepenuhnya di seluruh dunia sejak lebih 100 tahun lepas.

“Pada asalnya mereka beroperasi di Gunung Cheroh namun setelah berlaku insiden tanah runtuh sehingga mengorbankan 40 orang pada 1975, kerajaan telah memutuskan untuk memindahkan semua penduduk Kampung Kacang Putih ke Buntong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di kampung berkenaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing, hari ini.

Sivanesan turut menyerahkan sumbangan RM20,000 kepada Persatuan Penjual-Penjual Kacang Putih Ipoh bagi menambah tarikan dari segi infrastruktur di kawasan kampung yang memusatkan penjualan produk kacang dan pelbagai kerepek itu.

Bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara, kerajaan sebelum ini telah memulakan kerja-kerja membina pintu gerbang di kawasan berkenaan bermula pertengahan tahun ini dengan peruntukan RM50,000.

“Selain pintu gerbang, kerja-kerja memasang pelbagai lampu dan hiasan akan dilakukan di sekitar kawasan kampung ini supaya suasana menjadi lebih meriah,” katanya.

Sementara itu, Tan berkata semua pengusaha perniagaan kacang putih di kawasan ini disaran untuk memberi peluang kepada pelancong mengikuti proses pembuatan kudap-kudapan yang dijual supaya lebih ramai pelancong akan mengunjungi kawasan berkenaan.

Menurutnya, terdapat beberapa pengusaha telah mula mewujudkan ruang proses pembuatan sebagai alternatif untuk didekati pelancong yang datang dari dalam dan luar negara.

“Mereka perlu mengadakan pendekatan seperti ini dan boleh mewujudkan pameran galeri untuk pelancong memandangkan selama ini operasi kampung ini lebih kepada penjualan secara runcit dan borong,” katanya.

Kampung Kacang Putih di Buntong terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dan luar dengan perusahaan turun temurun itu sejak 30 tahun lepas.

Kudapan lain yang dihasil dan dijual di kampung itu ialah pelbagai jenis muruku seperti bintang, kari, pakoda, omom dan kadalai, daripada jenis kekacang seperti kacang kari dan kacang peas dan pelbagai jenis kerepek seperti ubi kayu, pisang dan sayur.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )