Tengkujuh: Jabatan Perhutanan Perak tutup semua laluan pendakian

Tengkujuh: Jabatan Perhutanan Perak tutup semua laluan pendakian

IPOH: Jabatan Perhutanan Perak akan menutup semua laluan pendakian di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal di bawah pentadbiran jabatan itu.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, tempoh penutupan itu dilaksanakan selama tiga bulan bermula 1 November 2019 sehingga 31 Januari 2020.

Beliau berkata, tindakan tersebut dibuat sebagai langkah keselamatan kepada orang awam khususnya pendaki berikutan musim tengkujuh yang sedang melanda negara ketika ini.

“Hal ini sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang kecederaan yang tidak diingini berlaku ekoran musim tengkujuh.

“Sebenarnya setiap tahun kita akan tutup laluan ini kerana risiko tinggi jika sebarang pendakian dibuat ketika musim hujan,” katanya lapor Sinar Harian.

Dalam pada itu, Mohamed Zin menasihatkan orang ramai supaya akur dengan arahan diberikan dan sebarang pendakian yang dilakukan dalam tempoh itu merupakan satu kesalahan.

Katanya, setiap aktiviti pendakian di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal perlu mendapat permit memasuki hutan daripada Pejabat Perhutanan Daerah.

Beliau berkata, jika terdapat mana-mana individu yang memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal tanpa permit, ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )