Rakyat disaran utamakan produk dan barangan Halal

IPOH: Perak memilih untuk mengutamakan kempen membeli barangan halal kerana ianya adalah tuntutan sebenar seperti yang dinyatakan dalam Al-quran.

Kempen membeli barangan halal ini bukan sahaja telah merangkumi barangan muslim sahaja, malah termasuk barangan yang dijual oleh penjual bukan muslim yang mendapatkan barangan halal daripada pembekal muslim secara borong.

Saranan untuk mengutamakan barangan ini dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi ketika ditemui wartawan selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Kerjaya RISDA Negeri Perak 2019 di Mydin Meru, Bandar Meru Raya di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah RISDA Perak, Nor Afzami Isa dan Pengurus Besar Yayasan Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

Menurut Asmuni, baru-baru ini berlaku masalah dikalangan pembekal muslim di mana hasil pertanian mereka tidak mahu dibeli oleh pemborong bukan muslim seperti selalu.

Ini katanya disebabkan berlakunya pengurangan kadar jualan yang dihadapi oleh pemborong bukan muslim berkenaan akibat pembeli muslim menyangka hasil berkenaan ditanam sendiri oleh pemborong bukan muslim, sedangkan ia adalah dibeli dari petani-petani muslim.

“Baru-baru ini ada dibuat ‘jumbo sale’ hasil keluaran pertanian, (disebabkan) tak laku. Sebabnya pemborong (yang sepatutnya membeli hasil berkenaan) terdiri dikalangan orang bukan muslim.

Pemborong(bukan muslim) kata kami tak boikot barangan muslim. Tapi kami tak berapa nak beli. Sebab kalau kami beli nanti, orang Melayu tak mahu beli dari kami sebab dia ingat kami yang tanam.” katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan statistik JAKIM sendiri produk yang banyak tidak berjaya mendapat status halal adalah produk yang dikeluarkan oleh muslim sendiri.

Ini kerana kata beliau banyak bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan produk keluaran meraka gagal melepasi ujian halal.

“Adakah bahan-bahan yang digunakan oleh muslim(yang tidak melepasi ujian halal) dengan hanya berlapikkan status (dijual oleh) muslim itu menjadikan sesuatu produk itu halal dan baik untuk kita dimakan.

“Sepatutnya penekanan yang kita patut berikan ialah kepada barangan halallan-toyyiba. Kalau kita kata halal, ianya akan merangkumi semua pihak. Kerajaan sekarang sedang memperomosikan barangan halal. Apa jadi dengan barangan (dijual oleh) bukan muslim tapi halal?”

“Kalau kempen (BMF) ini berterusan, barangkali produk-produk kita tidak boleh masuk ke pasaraya Jusco, Tesco. Alasan mereka kalau kami (pemilik pasaraya) ambil pun, nanti muslim tak akan masuk Jusco dan Tesco. Jadi siapa nak beli (barangan muslim)?”

Namun begitu, ADUN Manjoi itu menyatakan, kempen mempromosikan barangan muslim ini bukanlah ditolak sepenuhnya tetapi ianya haruslah bebas daripada pengaruh mana-mana parti dan pimpinan politik yang mempunyai agenda tersembunyi.

Beliau turut berpesan kepada pimpinan mana-mana parti yang terlibat dalam kempen berkenaan agar melihat jauh kesan yang akan dihadapi oleh peniaga-peniaga melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *