RM1 juta bantuan pensijilan Halal, pembungkusan dan perlabelan diagih kepada usahawan

IPOH: Kerajaan negeri melalui agensinya RISDA telah mengagihkan sebanyak RM360 ribu bantuan pensijilan halal dan RM720 ribu bantuan pembungkusan dan perlabelan kepada usahawan pelbagai bidang baru-baru ini yang membawa jumlah keseluruhan melebihi RM1 juta.

Tidak termasuk dalam jumlah keseluruhan berkenaan, turut diagihkan ialah bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan berjumlah RM1.97 juta dan bantuan RisSmart Mobile berjumlah RM50 ribu.

Kesemua replika cek agihan bantuan ini telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi dalam majlis perasmian Karnival Usahawan dan Kerjaya RISDA (KUKRIS) Negeri Perak 2019 bertempat di Pasaraya Besar Mydin Meru, Bandar Meru Raya di sini.

Bantuan pensijilan halal yang berjumlah RM20 ribu bagi setiap usahawan itu diserahkan kepada 18 penerima bertujuan membantu menampung kos para usahawan ini menguruskan proses permohonan sijil halal bagi produk yang dikeluarkan oleh mereka.

“Rata-rata mereka yang menerima bantuan ini adalah usahawan yang berkecimpung dalam perusahaan makanan dan minuman seperti pizza, minuman berperisa dan biskut tradisional.

“Betapa pentingnya para usahawan memastikan produk mereka adalah produk yang halal dan baik untuk dijual kepada pembeli. Ini merupakan saranan sebenar seperti mana yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran,” katanya ketika ditemui.

Oleh itu, kata beliau kerajaan negeri melalui portfolio pembangunan usahawan memberi komitmen yang sangat tinggi dalam membantu para usahawan bukan sahaja dalam usaha memperoleh sijil halal, malah menyediakan bengkel dan kursus yang berkaitan.

KUKRIS yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Oktober itu dimeriahkan dengan acara seperti pertandingan mewarna, kelas masakan, pameran peluang pekerjaan dan majlis ilmu.

Timbalan Pengarah RISDA Perak, Nor Afzami Isa menyatakan bahawa jualan terkumpul yang dicatat setelah tamat carnival berkenaan adalah melebihi RM152 ribu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *