“Kenapa sehingga sekarang kerajaan Kelantan, Terengganu tidak lancar kempen BMF, mesti ada sebab” – Kata Asmuni

IPOH: Ketika ditanya berkaitan sokongan kerajaan negeri Kelantan, Terengganu terhadap kempen Buy Muslim First (BMF), Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi menyatakan bahawa dirinya pelik kenapa negeri-negeri ini tidak pula menyatakan sokongan mereka secara terbuka kepada kempen BMF ini.

“Itulah, saya pun pelik. Kenapa di Perak sahaja. Kenapa tidak di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis kempen seperti ini dilancarkan. Ataupun sebelum ini, sebelum kita (kerajaan PH) memerintah, kenapa kempen ini tidak dilancarkan? Seolah-olah sekarang ini berlaku penindasan kepada peniaga-peniaga Melayu.” katanya dalam Satu Sidang Media Khas Sempena Larangan Kempen BMF di Masjid oleh kerajaan negeri Perak yang berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK), di sini, hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa semestinya ada sebab-sebab tertentu kerajaan negeri yang lain termasuk Kelantan dan Terengganu tidak menyatakan sokongan kepadan kempen BMF ini secara terbuka.

“Saya pun pelik. Saya pun mengharapkan jawapan daripada mereka kenapa tidak dilancarkan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis? Mesti ada sebab kenapa kerajaan mereka tidak mahu terlibat. Mesti ada sebab. (Ini) kena tanya kepada kerajaan merekalah.” katanya lagi.

Turut hadir dalam sidang media khas berkenaan ialah Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

Baru-baru ini dilaporkan kerajaan negeri Perak melalui exconya Asmuni Awi menyatakan larangan kempen BMF oleh NGO UMMAH Perak di masjid-masjid kerana ianya jelas didalangi oleh pimpinan parti politik tertentu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *