Kerajaan Perak fokus kempen menggalakkan pensijilan dan penghasilan produk halal

Saya ingin merujuk laporan media berkenaan Kerajaan Perak melarang sebarang penganjuran kempen Beli Barangan Buatan Muslim Dahulu (BMF) di dalam kawasan masjid.

1. Kerajaan Negeri Perak tidak menentang sebarang kempen yang dijalankan oleh mana-mana NGO dalam premis-premis kerajaan selama mana aktiviti tersebut selari dengan dasar dan polisi kerajaan. Dalam konteks masjid dan surau selain daripada di atas, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh parti-parti politik atau pihak-pihak lain yang didalangi oleh parti-parti politik adalah dilarang sama sekali.

2. Pihak kerajaan juga tidak mahu terlibat dengan kempen-kempen yang tidak selari dengan dasar dan polisi kerajaan yang sedang giat mempromosikan pensijilan dan penghasilan produk halal. Kempen-kempen seperti yang dianjurkan oleh BMF ini secara keseluruhannya akan memberi kesan negatif kepada konteks ekonomi dan keharmonian dalam konteks Malaysia.

3. Dalam konteks BMF, meskipun pihak penganjur mendakwa bahawa aktiviti tersebut dibuat atas nama NGO, namun laporan dan hasil siasatan yang diterima mendapati bahawa individu yang terlibat dalam pelancaran kempen tersebut di masjid berkenaan merupakan pimpinan bagi parti politik tertentu.

4. Dalam masa yang sama, pihak kerajaan akan terus memperkasakan kempen untuk menggalakkan pensijilan dan penghasilan produk halal terutama dalam kalangan usahawan-usahawan Muslim dan bumiputera. Usaha ini akan dijalankan melalui agensi-agensi kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

5. Sehubungan itu, pihak kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meningkatkan penghasilan dan pendapatan usahawan Melayu Muslim terutamanya, dengan mempromosikan barang-barang keluaran mereka sama ada melalui pihak kerajaan negeri ataupun bekerjasama dengan agensi-agensi persekutuan yang lain. Antaranya, melalui penganjuran karnival-karnival jualan, ‘business matching’ serta program-program promosi termasuk mempromosikan hasil produk usahawan bumiputera ke luar negara.

“MENCARI YANG HALAL SATU KEWAJIPAN”

HAJI ASMUNI AWI
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *