Netizen dinasihat berhati-hati mengeluarkan kenyataan, elak jadi pembuli siber

IPOH: Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menasihatkan kepada rakyat di luar sana khususnya para netizen agar tidak terjebak menjadi seorang pembuli siber.

Menurutnya, para netizen mestilah berhati-hati dan berfikir akan kesan negatif terhadap tindakan mereka di laman sosial agar tidak melanggari undang-undang dan ketamadunan serta kesantunan masyarakat.

Lebih keterlaluan, katanya ada dari kalangan netizen yang mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan dan ancaman yang mana ia adalah satu tindakan yang sangat merbahaya serta diambil perhatian serius oleh pihak berkuasa.

“Saya nasihatkan kepada netizen agar berhati-hati dalam memberi komen di media sosial agar tidak menjejaskan reputasi mana-mana pihak termasuklah para pimpinan.

“Jangan memuatnaik kenyataan dan komen yang tidak mendatangkan keselesaan, penghinaan dan berbaur ugutan kepada mana-mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh disini hari ini.

Hadir sama ialah Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Asmuni Awi dan wakil Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta Unit Perancangan Ekonomi Perak (UPEN).

Hasnul menjelaskan, terdapat beberapa laporan polis telah dibuat terhadap beberapa pengguna laman sosial khususnya Facebook yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan ugutan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Kata beliau, setelah laporan polis dibuat, pemilik akaun Facebook itu telah dipanggil oleh pihak polis dan diambil keterangan.

Individu tersebut katanya berisiko dikenakan undang-undang yang telah termaktub hanya kerana komen yang dilontarkan olehnya di laman Facebook.

Jelasnya, perbuatannya itu sudah pasti akan memberi kesan kepada dirinya sendiri kerana melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dan norma masyarakat.

“Ada undang-undang yang boleh dikenakan kepada pembuli siber, sekiranya mereka melakukan tindakan tersebut sudah pasti pihak berkuasa akan mengambil tindakan kepadanya.

“Oleh yang demikian, saya nasihatkan agar semua netizen berfikir dan berhati-hati dalam membuat sebarang komen dan tindakan,” katanya lagi.

Semalam, beberapa laporan polis telah dibuat kepada individu yang telah mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan ancaman serta fitnah kepada Exco Kerajaan Negeri Perak, Asmun Awi.

Sejurus selepas itu, individu tersebut telah dipanggil oleh pihak polis untuk proses siasatan dan kemungkinan bakal dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *