Bekas CEO Institut Darul Ridzuan didakwa 58 pertuduhan pecah amanah

IPOH: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Darul Ridzuan (IDR) Dr Mazalan Kamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 58 pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan jumlah lebih RM150,000.

Mazalan, 56, yang hadir ke mahkamah ditemani isterinya membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Mazalan, ketika beliau sebagai seorang CEO institut berkenaan dan dalam kapasiti tersebut, telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta tertentu iaitu dana IDR Berhad, telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya menyalahgunakan harta tersebut dengan meluluskan pembayaran sejumlah RM153,871.82 ke akaun Kinta Riverfront Hotel & Suites Sdn Bhd melalui cek CIMB Bank Berhad.

Ia dilakukan bagi membuat bayaran sewa apartmen dan bil utiliti bagi setiap bulan, sedangkan pembayaran elaun sewa rumah telah dibayar kepada tertuduh, setiap bulan.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Institut Darul Ridzuan Berhad, B-1-9, Greentown Suria, Jalan Dato’ Seri Ahmad Said di sini, bermula dari 10 Jan 2014 hingga 30 Oktober 2018.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Mazalan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang mana jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum sehingga 20 tahun dan dengan sebat, dan juga dikenakan denda.

Hakim Azman kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan pecah amanah jenayah itu dengan seorang penjamin selain menetapkan 26 Nov ini untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab, Mohamad Nazreen Zabarudin dan Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Qadir Saqti Aros.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *