Inisiatif TVET Perak dilancar, akan dibentang dalam belanjawan 2020

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melancarkan Inisiatif TVET Perak 2019 yang bakal mengubah landskap ekosistem latihan TVET sedia ada di negeri Perak.

Menurutnya, ini sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperluaskan TVET sebagai cabang kerjaya setaraf dengan bidang kerjaya profesional yang lain.

Katanya, matlamat utama inisiatif ini adalah untuk melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran dalam mendepani cabaran industri yang semakin kompetitif.

“Di bawah Inisiatif TVET Perak ini, Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) akan menggerakkan kerjasama dengan Perak Eclat TVET (PET), sebuah badan profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang TVET.

“PET juga mempunyai rangkaian kerjasama industri serta badan-badan persijilan di dalam negara dan di peringkat antarabangsa yang akan menjadi penyelaras program-program dan inisiatif TVET sedia ada mahupun inisiatif baharu, supaya berada pada landasan yang tepat dalam memenuhi keperluan dan kehendak industri serta bakal pelabur dalam negeri,” katanya

Pada majlis itu, Ahmad Faizal turut menyaksikan majlis menandatangai Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara PASAK dengan pihak Perak Eclat dan juga MoU di antara Perak Eclat TVET dengan 10 rakan strategik.

Kataya, maklumat lanjut mengenai Inisiaitif TVET Perak akan diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2020 Negeri Perak pada November depan.

“Semoga usaha ini akan menjadi perintis kepada pembangunan modal insan TVET yang kompeten dan memenuhi kehendak industri dan para pelabur sektor berteknologi tinggi di Perak,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *