JAIPk akan siasat status pembinaan kompleks pendidikan yang dikendalikan oleh Idham Care

IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan meminta Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuat siasatan terhadap status pembinaan Kompleks Pendidikan Darul Anwar di Titi Serong, Parit Buntar.

Difahamkan penjualan lot wakaf tanah dan bangunan itu telah bermula sejak tahun 2011 lagi dan ia telah dikendalikan sepenuhnya oleh Idham Care iaitu salah sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dikaitkan dengan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Perak (UMMAH Perak), Khalil Idham Lim Abdullah.

Exco Kerajaan Negeri Perak, Asmuni Awi berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan isu tersebut namun sekiranya ia benar berlaku pelanggaran mana-mana peruntukan undang-undang serta penyelewengan, tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa.

“Saya tiada maklumat tentang perkara ini, ia satu maklumat baru yang saya dengar.

“Tetapi sekiranya benar seperti yang dilaporkan, saya akan meminta pihak JAIPk untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

“Dan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran terhadap mana-mana peruntukan undang-undang atau penyelewengan, tidakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang wajar diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab kepada soalan yang dikemukakan media dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.

Tinjauan Perak Insight mendapati, tapak cadangan pembinaan kompleks pendidikan itu masih lagi kosong tanpa ada sebarang pembinaan bangunan walaupun kutipan waqaf telah bermula 9 tahun yang lalu.

Tapak cadangan Kompleks Pendidikan Darul Anwar di Titi Serong masih lagi kosong tiada sebarang kerja pembinaan.
Lakaran projek Kompleks Pendidikan Darul Anwar yang dilancarkan pada 2011.

Skim waqaf tanah dengan harga wakaf RM 10 sekaki persegi bagi membina sebuah pusat pendidikan telah pun dilancarkan pada 25 September 2011.

Dengan nama Kompleks Pendidikan Darul Anwar, cadangan pusat pendidikan itu akan dibina di atas tanah seluas 4 ekar itu terletak di Titi Serong dengan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM3 juta.

Mengikut perancangan kompleks tersebut akan mengandungi Maahad Tahfiz Darul Anwar dan Pusat Penjagaan Anak Yatim & Saudara Baru Ummu Aiman.

Menurut Pengerusi Idham Care, beliau mensasarkan kompleks tersebut dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun selepas pelancaran iaitu pada tahun 2013.

Namun hakikatnya, sehingga hari ini projek ini tidak nampak bayangnya dan kerja-kerja pembinaan tidak kelihatan.

Hasil carian Perak Insight juga, nombor akaun yang digunakan untuk menyalurkan wang wakaf itu telah ditutup dan tidak lagi aktif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *