Kejohanan hoki Piala Tuanku Zara tarik penyertaan lima negara

IPOH: Bandar Kuala Kangsar bakal dimeriahkan dengan kehadiran para pemain hoki wanita daripada lima negara yang akan berentap bagi muncul juara dalam Kejohanan Hoki Dalam Dewan Wanita Antarabangsa Piala Tuanku Zara yang julung-julung kali dianjurkan.

Kelima-lima pasukan dari Uzbekistan, Nepal, Taipei, Filipina dan tuan rumah Malaysia, akan berlangsung selama empat hari bermula 31 Oktober ini, Dewan Jubli Kuala Kangsar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kejohanan sulung itu diharap bakal menjadi perintis kepada satu lagi kejohanan hoki bertaraf antarabangsa yang popular di negeri ini, selepas Piala Sultan Azlan Shah berjaya meletakkan Perak dalam kalendar penting sukan hoki lelaki dunia.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan tajaan sebanyak RM400,000 bagi menjayakan kejohanan itu, separuh bagi tujuan penganjuran manakala separuh lagi untuk menaiktaraf venue kejohanan.

“Kepada lima pasukan yang bakal bertanding, selamat maju jaya!,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Logo Kejohanan di Hotel Casuarina@Meru baru-baru ini/

Hadir sama ialah Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Faizal turut menyaksikan penyerahan sumbangan tajaan penginapan dan pengangkutan para atlet yang akan mengambil bahagian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *