Kerajaan negeri sasar bina 50 ribu unit rumah mampu milik

IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan mengkaji kaedah untuk membantu memudahcara proses kelulusan permohonan pembangunan oleh pemaju swasta, khususnya melibatkan pembinaan rumah mampu milik.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu akan dibincangkan di peringkat pentadbiran negeri, susulan maklumbalas yang diterima daripada pemaju-pemaju swasta.

“Saya meminta semua Yang Dipertua Kerajaan Tempatan untuk segera memaklumkan pemaju sekiranya permohonan yang dihantar tidak lengkap bagi mempercepatkan proses kelulusan.

“Langkah ini penting bagi mencapai sasaran kerajaan negeri membina 50,000 unit rumah mampu milik di seluruh negeri Perak dalam tempoh lima tahun bermula tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat dan melawat dua tapak projek anak syarikat MK Land Holdings di Klebang dan Meru.

Hadir sama Penasihat MK Land Holdings, Tan Sri Mustapha Kamal, Pengerusi Eksekutif, Felina Tan Sri Mustapha Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Anuar Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Yuhanas Auree Bin Kamaruddin.

Dalam sidang media selepas lawatan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kumpulan MK Land kerana mendahulukan pembinaan Mesra Milik pada harga yang berpatutan dalam projek-projek perumahan di Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *