Salahguna masjid: JAIPk gesa semua pihak ambil iktibar teguran Sultan Perak

IPOH: Semua pihak khususnya ahli jawatankuasa kariah diseru untuk mengambil iktibar dan menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung teguran Baginda kepada tindakan penyalahgunaan masjid oleh pihak tertentu bagi tujuan mendapat pengaruh politik.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata tindakan seperti amaran dan pergantungan yang dikenakan ke atas ahli jawatankuasa masjid berkenaan kesalahan tersebut seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Katanya, walaupun seseorang ahli jawatankuasa masjid itu mempunyai kecenderungan kepada individu atau parti politik tertentu namun, apabila bertugas mereka hendaklah mengenepikan hal-hal berkenaan.

“Walaupun mereka mungkim mempunyai kecenderungan kepada mana-mana pihak tetapi, apabila menjaga hal masjid, ia adalah kepentingan ummah.

“Walaupun mungkin individu itu ada ‘mirip’ kepada mana-mana organisasi bukan kerajaan (NGO) atau parti politik namun, pemilihan jawatan mereka itu adalah untuk menjaga masjid dan ummah.

“Ketepikan persoalan politik dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, masjid seharusnya menjadi tempat untuk meraikan perpaduan ukhwah dan bebas daripada sebarang unsur berkaitan kepartian.

Beliau juga mengingatkan agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba berselindung dengan apa-apa cara untuk mendapatkan pengaruh politik di masjid.

“Jangan beri ruang kepada pihak tertentu yang mahu mencari kepentingan politik di masjid. Masjid adalah tempat membina ukhwah, dan tempat untuk beribadah serta bermunajat kepada Allah.

“Saya ingatkan mana-mana pihak tidak kira sesiapa, sama ada parti politik atau NGO, agar tidak berselindung di sebalik kepentingan tertentu. Biar masjid aman dan tenteram daripada hal ini.

“Saya harapkan semua pentadbir masjid akur dengan titah Sultan Perak yang merupakan Ketua Agama. Saya yakin Baginda amat mengetahui apa yang sedang berlaku di masjid-masjid,” katanya, lapor Perak Today.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Jawatankuasa Kariah Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Perak dalam titahnya pada majlis berkenaan menasihatkan agat semua ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini untuk bersifat berkecuali daripada sebarang unsur politik kepartian serta tidak membenarkan diri mereka diperalatkan oleh mana-mana kumpulan politik.

Baginda juga bertitah agar kesemua ceramah yang berlangsung dalam masjid dan surau pula hendaklah tidak memihak atau mencemuh mana-mana parti politik agar tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli kariah yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *