Sultan Nazrin tegur individu politik guna NGO untuk tembusi masjid

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, akhir-akhir ini individu-individu daripada kumpulan politik tertentu telah menggunakan beberapa pertubuhan bukan politik dan bukan kerajaan (NGO) untuk menembusi masjid, dan memperkenalkan program tertentu untuk dijalankan dalam masjid dan dalam kawasan masjid.

Titah tuanku, program yang membawa jenama tertentu, dijadikan topeng untuk melindungi niat sebenar yang tersirat.

Sultan Nazri memberi penegasan, kalangan yang telah diberikan amanah sebagai jawatankuasa kariah hendaklah bersifat tegas dan bijaksana agar tidak membenarkan diri mereka dimanipulasi atau diperalatkan oleh mana-mana kumpulan politik.

“Jika ada yang memiliki agenda politik dan cita-cita politik, baik dalam kalangan ahli jawatankuasa yang dilantik, begitu juga penceramah yang telah diberikan tauliah, mereka hendaklah secara jujur lagi ikhlas, secara mulia lagi terhormat berundur diri, daripada bersifat gunting dalam lipatan, melakukan aktiviti-aktiviti yang menodai kesucian politik,” titahnya.

Sultan Nazrin bertitah demikian di Majlis Persidangan Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2019, di Ipoh hari ini.

Jelas Sultan Nazrin di dalam titahnya, jawatankuasa kariah, hendaklah pada setiap masa bersifat berkecuali daripada politik kepartian.


Titahnya lagi, ceramah-ceramah yang berlangsung di dalam masjid
dan surau hendaklah juga tidak memihak atau mencemuh mana-mana parti politik agar tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli kariah.

“Para pemegang amanah yang diberikan tanggungjawab mengurus masjid di negeri Perak wajib memahami falsafah kewujudan serta peranan utama masjid sebagai institusi menyatupadukan ummah.

“Institusi masjid wajib dilindungi daripada sebarang perbuatan dan percakapan yang boleh menodai kesuciannya.

“Ahli-ahli jawatankuasa kariah, hendaklah membantu Beta, pada setiap masa melindungi masjid daripada dicemari oleh aktiviti yang boleh memecahbelahkan ahli-ahli kariah.

“Sedarilah! musuh utama yang berpotensi besar mencemari masjid dan memecahbelahkan ummah ialah kegiatan politik berpuak secara keterlaluan,” titahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *