Titah Tuanku tidak dihirau, pemimpin Pas terus cuba tembusi masjid

IPOH: Pas dilihat tetap cuba menganjurkan program di institusi masjid biarpun Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah bertitah melarang melakukan perkara sedemikian.

Pemilik akaun Facebook bernama Ross Lee atau nama sebenarnya Mohd Roslee Md Said telah memuatnaik satu poster program bertajuk “Ceramah Maulidur Rasul” bersama Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mokhtar Senik.

Mohd Roslee difahamkan adalah Ahli Jawatankuasa Masjid Lama Gopeng merangkap Ketua Pas Cawangan Gopeng.

Ceramah tersebut dijadualkan berlangsung pada malam ini di Masjid Lama Gopeng selepas solat maghrib.

Mohd Roslee yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah menulis, “Jangan Lupa Temujanji Kita Malam Ini…From Masjid Lame Gopeng Hagen…Penerangan Isu-Isu Semasa Yg Berkaitan dengan Penyatuan Ummah Masa Kini…”.

Penganjuran program tersebut jelas melanggar titah Tuanku yang secara tegas memberi amaran agar parti dan pimpinan politik tidak menyalahgunakan masjid dan surau untuk aktiviti berbentuk politik kepartian.

Dua posting yang dimuatnaik oleh Mohd Roslee di laman Facebooknya berkaitan program tersebut.

Khamis lalu, Sultan Nazrin sekali lagi bertegas agar parti politik tidak menyalahgunakan masjid walaupun berselindung di belakang NGO.

Tuanku juga bertitah, ahli-ahli jawatankuasa kariah hendaklah membantu Tuanku pada setiap masa melindungi masjid daripada dicemari oleh aktiviti yang boleh memecahbelahkan ahliahli kariah.

“Sedarilah! musuh utama yang berpotensi besar mencemari masjid dan memecahbelahkan ummah ialah kegiatan politik berpuak secara keterlaluan,” tegas Sultan Perak.

Hasil semakan Perak Insights, pimpinan Pas itu tidak mempunyai tauliah mengajar di Perak sekali gus melanggar larangan Sultan Perak yang tidak membenarkan penceramah yang tidak mempunyai tauliah untuk berceramah di mana-mana masjid di negeri ini.

Amaran tegas Tuanku dilihat tidak diambil serius oleh pemimpin Pas yang tetap cuba berceramah di masjid walaupun tidak mempunyai tauliah dan kebenaran.

Walaubagaimanapun, beberapa jam selepas itu, Mohd Roslee memuatnaik satu lagi poster berkaitan program tersebut, namun poster tersebut memaklumkan program itu telah mengubah lokasi ke Kompleks PAS Kawasan Gopeng atau lebih dikenali dengan Wisma Purnama, Station 18.

Mohd Roslee menulis, “Kamu Merancang!!…Tapi Ingatlah Perancangan Allah Maha Hebat….From Masjid Lama Gopeng Hagen”

Ayat pemilik akaun itu dilihat menggambarkan beliau tidak berpuas hati apabila program yang disusun di masjid itu telah dilarang oleh pihak bertanggungjawab.

Situasi ini sama dengan apa yang berlaku baru-baru ini yang mana pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah melarang penganjuran program bertajuk “Forum Perpaduan Nasional: Aus dan Khazraj Satu Keajaiban”.

Pas Kawasan Gopeng cuba menganjurkan program di masjid, namun mereka terpaksa akur dengan larangan pihak bertanggugnjawab dan akhirnya memidahkan program tersebut ke Wisma Purnama.

Program tesebut adalah anjuran bersama surau tersebut dengan Pas Kawasan Gopeng dan dijadualkan berlangsung pada 28 Oktober 2019.

Penganjur telah menjemput dua orang ahli panel iaitu Ust Husam Dato Badaruddin dan PU Syed Abu Bakar serta dimoderatorkan oleh Ustaz Huri Alias.

Walaubagaimanapun, program tersebut akhirnya terpaksa mengubah lokasinya ke Wisma Purnama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *